KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- ASEAN perlu menangani impak segera daripada peningkatan tarif dengan menggariskan peraturan tempasal dengan lebih jelas, mengatasi kelemahan dalam pindahan kapal dan mewujudkan jaminan bagi lencongan perdagangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata matlamatnya untuk memudah cara perdagangan sebenar dan menguruskan lebihan kapasiti dari rantau ini dan kawasan sekitarnya.
“Dalam jangka masa panjang, keutamaannya ialah meningkatkan integrasi serantau dan mengekalkan multilateralisme yang pragmatik.
“Ini bermakna mempercepat pelaksanaan pelbagai perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkatkan, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau ASEAN (RCEP) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang bakal dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada 48th Federation of ASEAN Economic Associations Annual Conference di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata perjanjian ini dapat membantu ASEAN meningkatkan penyumberan antara serantau, mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara serantau.
“Mempelbagaikan dan memperkukuh kerjasama perdagangan, terutamanya dengan negara maju dan sedang pesat membangun lain, bukan hanya menjadi lindung nilai terhadap ketidaktentuan, malah sebagai strategi untuk pemulihan,” katanya.
Beliau berkata hubungan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea melangkaui budaya dan nilai serta meluas kepada rantaian nilai meliputi industri.
“Institusi seperti Bank Pelaburan Infrastruktur Asia telah memperuntukkan sehingga US$50 bilion (US$1=RM4.15) untuk projek berkaitan iklim di ASEAN manakala Dana Integrasi Jepun-ASEAN menyediakan lebih US$894 juta dalam bentuk geran untuk integrasi ekonomi, pengurusan bencana dan pembangunan modal insan sejak 2006.
“Ini memerlukan asas untuk kerjasama yang lebih erat dan ASEAN perlu bersedia untuk memanfaatkan peluang ini bagi merealisasikan faedah bersama sepenuhnya,” katanya.
Selain Asia, Abdul Rasheed berkata memperkukuh perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Latin menawarkan laluan jelas untuk mempelbagaikan kerjasama dan memanfaatkan bidang pertumbuhan baharu.
“Perdagangan ASEAN-EU telah melebihi US$200 bilion setahun, menjadikan ASEAN sebagai rakan dagangan ketiga terbesar EU. Walaupun perdagangan dengan Amerika Latin lebih kecil, kira-kira US$32 bilion, terdapat potensi sebenar.
“Dengan memacu perjanjian perdagangan berstandard tinggi dan diiktiraf bersama dengan blok seperti blok perdagangan Amerika Selatan (MERCOSUR), ASEAN boleh menjadi rakan global yang dipercayai dan kompetitif,” katanya.
-- BERNAMA