SUKAN

Deaflympics 2025: Kecederaan Ragut Impian Zaiman Rebut Podium Di Tokyo

19/11/2025 06:09 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kecederaan tumit kanan meragut impian atlet olahraga  negara Zaiman Megat Abu untuk penamat podium selepas menamatkan saingan di tempat kelima acara lompat kijang temasya Sukan Deaflympics 2025 hari ini.

Dalam aksi di Stadium Komazawa Metropolitan, Zaiman, 24, melakukan lompatan terbaik 14.17 meter (m) pada percubaan ketiga berbanding rekod peribadinya 14.82m yang dilakukan pada Sukan Orang Pekak Malaysia, bulan lepas.

“Dua minggu lepas tumit saya memang dah mula sakit, tapi masih boleh tahan cuma hari ini sakit itu makin terasa.

“Saya sangat tidak puas hati sebab tahu boleh lompat lebih 15.00m tapi tak dapat tunjukkan hari ini,” katanya melalui jurubahasa isyarat kepada pemberita.

Bagaimanapun, Zaiman yang akan beraksi dalam kelayakan kategori A lompat jauh pada Jumaat ini berkata beliau menyasarkan lompatan melepas jarak 7.00m

“Saya sangat kecewa sebab gagal hadiahkan pingat kepada Malaysia dalam lompat kijang. Tapi saya tetap akan mara dan cuba yang terbaik untuk acara seterusnya,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Sanusi Zainal Abidin berkata antara faktor menyebabkan prestasi Zaiman terjejas adalah kerana atlet berkenaan berasa tertekan melihat pesaing yang mempunyai fizikal lebih besar berbanding dirinya.

“Saya rasa dia gugup. Dari lompatan kedua pun dah nampak takut itu. Benda ini perlu diatasi segera dengan dia perlukan lebih banyak kejohanan antarabangsa untuk biasa dengan tekanan.

“Semasa latihan, dia selalu buat sekitar 14.80m, (tiba-tiba di sini lain yang terjadi) jadi saya rasa amat sedih kerana gagal bagi dia pingat,” katanya.

Mengenai saingan acara lompat jauh, Sanusi berharap anak buahnya itu berjaya melangkah ke final dan mempunyai kekuatan mental yang tinggi untuk berdepan peserta lain.

Acara lompat kijang menyaksikan atlet Amerika Syarikat Jarvis Anderson Jermaine meraih emas selepas melakukan 15.28m manakala dua atlet Natural Aliaksandr Maistrenka dengan 14.75m dan Raman Hralko  dengan 14.71m, masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492750