GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Hollywood Samurai dari Hong Kong ternyata berada dalam kelasnya tersendiri apabila memenangi dua gelaran pada Kejohanan Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025 di sini hari ini.
Pelayaran diketuai kapten Raymond Roberts bersama 10 anak kapal itu memenangi peringkat kedua kejohanan dari Pulau Pangkor ke Pulau Pinang dengan catatan masa 10 jam 49 minit dan 23 saat dan pasukan itu turut menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pesisir pantai bagi kategori Kelas 1.
Mereka kini pada kedudukan pertama dengan tujuh mata penalti diikuti pasukan The Next Factor di tempat kedua yang mengumpul sembilan mata dan Windsikher di tempat ketiga (12 mata).
"Kami meraih kemenangan selepas perlumbaan kedua dan kami sangat gembira. Tetapi hari ini kami mendapat tempat kedua secara keseluruhan dan ia sedikit mengganggu momentum kami.
“Walaupun kami tidak mendapat keputusan yang begitu hebat hari ini, kami masih mendahului regata,” kata pitman Hollywood Samurai Sam Hunt kepada Bernama ketika ditemui hari ini.
RMSIR, yang berlangsung sembilan hari dari 14 hingga 22 Nov, disertai 23 pasukan dan akan meneruskan perlumbaan ke Langkawi esok.
Kali pertama dianjurkan pada 1990, RMSIR merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia yang merupakan cetusan idea Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menjadi Raja Muda Selangor.
-- BERNAMA