AM

Negeri Sembilan Kukuh Logistik, Operasi Hadapi Musim Tengkujuh

19/11/2025 06:27 PM

SEREMBAN, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memperkukuh kesiapsiagaan logistik dan operasi bagi menghadapi musim tengkujuh susulan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah membuat persediaan rapi pada semua peringkat bagi memastikan tindakan segera dapat dilakukan, jika berlaku sebarang situasi tidak diingini.

“Negeri Sembilan menerima purata taburan hujan antara 1,800 hingga 1,900 milimeter (mm) setahun dan setakat semalam, sebanyak 1,190 mm direkodkan. 

“Kita berharap hujan tidak berterusan (dan) sekiranya taburan hujan melebihi 210 ke 250 mm dalam tempoh sehari, ia boleh mengakibatkan banjir,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan menganjurkan Pesta Bola Ngoca di Kuala Pilah selama dua hari bermula 29 Nov.

Beliau berkata pelbagai aktiviti disediakan termasuk bola sepak ngoca, tangkap ikan dan itik dalam sawah, titi berayun serta bola baling ngoca yang bertujuan mengeratkan silaturahim pengunjung.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492759