KUANTAN, 19 Nov (Bernama) – Kerja-kerja pemasangan dan menaik taraf sistem bekalan air di Kampung Luit, Maran dijangka siap menjelang April tahun depan.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kemajuan projek yang akan memberikan manfaat kepada kira-kira 32,000 pengguna itu kini berada lebih 40 peratus di hadapan daripada jadual asal.
“Insya-Allah, masalah bekalan air di daerah Maran dapat diselesaikan melebihi 90 peratus dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata usaha itu selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan 90 peratus masalah bekalan air di seluruh Pahang menjelang akhir 2026.
Menurut hantaran itu, Wan Rosdy turut mengadakan lawatan ke Tapak Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air Daerah Maran di kampung berkenaan.
-- BERNAMA