Oleh Afifitri Muhammad
KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Projek Pemajuan Kawasan (PPK) di Kampung Bongsu, Lanchang, Temerloh yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dijangka menjadi pemangkin peningkatan kualiti hidup, menerusi pembangunan penempatan baharu yang lengkap dengan infrastruktur asas dan kemudahan sosial.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata skop utama PPK merangkumi penyediaan tapak dan pembinaan rumah bagi penempatan semula penduduk terjejas banjir, penduduk terlibat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan serta penerima bantuan Program Bantuan Rumah (PBR) e-KASIH dan Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Daerah Temerloh.
“Selain itu, skop pelaksanaan PPK tersebut turut melibatkan penyediaan infrastruktur seperti jalan, perparitan, sambungan bekalan air dan elektrik serta pembinaan kemudahan ameniti sosial seperti dewan serbaguna, surau, padang permainan dan lain-lain kemudahan yang diperlukan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata anggaran kasar peruntukan bagi projek yang bakal memberi manfaat kepada 153 keluarga itu melebihi RM25 juta, namun jumlah sebenar akan ditentukan berdasarkan rancangan pembangunan yang disediakan oleh perunding dilantik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan projek itu telah dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN), ketika lawatannya ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Temerloh pada 14 Nov 2023.
“Cadangan ini adalah berikutan kejadian banjir besar yang melanda daerah Temerloh pada tahun 2014 dan 2021/2022, serta kejadian banjir akibat limpahan air Sungai Semantan ketika musim Monsun Timur Laut pada setiap tahun. Selain itu juga, sebahagian peserta ialah penduduk kampung yang terlibat dengan tapak PLSB Sungai Semantan Fasa 1,” katanya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata tapak PPK yang dicadangkan juga berhampiran dengan lokasi asal penempatan peserta, agar kegiatan ekonomi yang sedang dijalankan mereka dapat diteruskan selepas berpindah ke penempatan baru.
“Akses para peserta PPK kepada perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan akan meningkat secara signifikan, disebabkan kawasan PPK terhubung dengan kemudahan kesihatan awam dan swasta.
“Kemudahan pendidikan melalui jalan raya berturap yang memudahkan pergerakan mereka berbanding dengan lokasi penempatan lama para peserta, yang sebahagiannya berasal dari kawasan yang berisiko terputus hubungan akibat laluan yang digunakan ditenggelami banjir terutamanya pada musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan PPK itu juga dilihat selari dengan agenda pembasmian kemiskinan melalui penyediaan tapak rumah terancang untuk pelbagai skim bantuan perumahan, termasuk Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA), Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah KKDW dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang memasuki Fasa Keenam pada 2026.
“Dengan adanya tapak yang berstatus teratur dan selamat, golongan berpendapatan rendah yang layak menerima bantuan seperti PBR, akan mendapat penempatan lebih kondusif, tidak lagi terdedah kepada risiko bencana dan boleh menikmati kemudahan asas yang lengkap,” katanya.
Wan Rosdy berkata faktor kedudukan kampung itu yang berhampiran rangkaian pembangunan sedia ada dan perancangan masa hadapan turut menjadi kelebihan utama, sekali gus menepati hasrat kerajaan untuk memastikan penempatan semula tidak menjejaskan sumber pendapatan penduduk.
“Antara pembangunan yang dirancang di kawasan berhampiran termasuk hospital swasta, stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan bandar pintar, yang dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. Peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi dijangka meningkat seiring dengan pembangunan kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemajuan Kampung Bongsu di Temerloh.
-- BERNAMA