PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Program Dakwah Negara (PDN) 2025 yang dilancarkan hari ini akan menggerakkan lebih 1,000 program dakwah di seluruh negara sepanjang penganjurannya, menjadikan ia antara usaha dakwah berskala nasional terbesar setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program tersebut yang berlangsung hingga 15 Dis ini, dirangka sebagai gerakan menyeluruh bagi menyelaras, memperkasakan dan menyatukan usaha dakwah melalui pendekatan lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.
“PDN 2025 akan menyelaras pelbagai inisiatif dakwah dengan pendekatan berasaskan kasih sayang, hikmah dan kefahaman Islam yang sahih, melibatkan kerjasama antara kerajaan, NGO Islam dan masyarakat awam,” katanya ketika melancarkan program itu pada Majlis Pembukaan Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di Masjid Putra di sini hari ini.
Bertemakan “Membangun Adab Membina Negara”, PDN 2025 memberi tumpuan kepada usaha membentuk masyarakat berilmu dan beradab sebagai asas pembangunan negara, selaras agenda Malaysia MADANI.
Program yang dijadual berlangsung merangkumi seminar dan majlis ilmu, kembara dakwah, ziarah rahmah, aktiviti kebajikan, tayangan filem patuh syariah serta penganjuran Anugerah Pendakwah Negara sebagai acara kemuncak.
Mohd Na’im berkata pelaksanaan PDN 2025 turut diharapkan menjadi pemangkin dalam usaha menangani kecenderungan fahaman sempit, salah tafsir serta unsur ekstremisme dalam beragama melalui pengukuhan budaya ilmu dan kefahaman berdasarkan dalil.
Majlis pelancaran PDN 2025 turut disertai pembukaan Majlis Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 28 Nov, kesinambungan daripada kejayaan penganjuran Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari tahun lepas.
Acara itu menghimpunkan ulama dan ilmuwan dari Mesir, Tunisia, India, Bahrain, Syria, Indonesia serta tokoh tempatan, yang menurut Mohd Na’im, menjadi simbol kekuatan ukhuwah Islamiah merentasi sempadan bangsa dan negara.
“Melalui tradisi sama’ hadis ini, kita menyambung mata rantai sanad keilmuan antara ulama silam dengan generasi kini, suatu kesinambungan ilmu yang penuh makna dan keberkatan.
“Majlis ini bukan sekadar ritual bacaan hadis, tetapi usaha menyemarakkan budaya ilmu serta pemikiran Islam yang seimbang dan berasaskan nas-nas yang sahih,” katanya.
-- BERNAMA