KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Isu Palestin dijangka menjadi antara tumpuan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa sempena lawatan kerjanya ke negara itu.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijangka tiba di Johannesburg pada Khamis (20 Nov) untuk memulakan lawatan kerjanya selain menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), hujung minggu ini.
Beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ramaphosa pada Jumaat (21 Nov).
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof berkata Perdana Menteri akan menyampaikan pendirian tegas Malaysia dalam usaha menghentikan keganasan di Gaza, sejajar dengan komitmen Afrika Selatan terhadap isu aparteid, satu keserasian yang dilihat terus memperkukuh hubungan dua hala.
"Satu daripada isu yang Malaysia perjuangkan adalah isu aparteid dan pada masa sekarang juga Malaysia dan Afrika Selatan sama-sama memperjuangkan hak rakyat Palestin di Gaza.
Itu yang menjadi sebagai kaitan yang memperkuat hubungan dua hala Malaysia dengan Afrika Selatan," kata beliau pada sidang media secara dalam talian pada Rabu.
Yubazlan berkata ini selaras dengan ketegasan Malaysia secara berterusan dalam menuntut keadilan untuk Palestin serta peranan Afrika Selatan dalam membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang genosid di Gaza.
Selain isu Palestin, beliau berkata kedua-dua pemimpin dijangka meneroka kerjasama terkini serta peluang baharu untuk meningkatkan perdagangan dua hala, selain memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan dan pembinaan kapasiti.
Sementara itu, Yubazlan berkata sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin juga akan dizahirkan Perdana Menteri dalam satu temu bual dengan pensyarah dan aktivis Dr Sizwe Mpofu-Walsh pada hari kedua lawatan kerja berkenaan.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak G20 pada Sabtu dan Ahad, Anwar, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, akan bertemu komuniti Islam dan diaspora Malaysia di Johannesburg.
Ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dalam rangka lawatan rasminya ke Malaysia pada akhir bulan lepas, Ramaphosa berkata hubungan antara kedua-dua negara telah terjalin lebih 300 tahun lepas dan bertunjang daripada sejarah serta perjuangan bersama menentang perhambaan dan penjajahan.
Ramaphosa juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengiktiraf pendirian negaranya terhadap perjuangan Palestin serta menyokong tindakan Afrika Selatan memfailkan aduan ke ICJ.
Pada 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM7.82 bilion (US$1.71 bilion).
Eksport Malaysia ke Afrika Selatan bernilai RM3.84 bilion (US$840 juta), manakala import pula berjumlah RM3.98 bilion (US$870 juta).
Afrika Selatan merupakan negara kedua dalam siri lawatan sulung Perdana Menteri ke benua Afrika.
Anwar dijadualkan berlepas ke Nairobi, Kenya pada 23 Nov untuk siri terakhir lawatannya ke benua Afrika.
-- BERNAMA