KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Khamis, disokong minat belian dalam kaunter teknologi dan pembinaan, seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.08 mata kepada 1,627.97, selepas dibuka 4.55 mata lebih kukuh pada 1,628.44 berbanding 1,623.89 ketika ditutup pada Rabu.
Sentimen pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan 312 kaunter untung mengatasi 90 kaunter rugi, manakala 235 kaunter tidak berubah, 2,149 tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 179.84 juta saham bernilai RM98.42 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street pulih semula selepas empat hari penjualan dalam saham teknologi, apabila pelabur memasuki pasaran semula menjelang musim keputusan korporat.
Susulan prestasi itu, firma pembrokeran tersebut menjangkakan FBM KLCI meneruskan pemulihannya, dengan sentimen optimis terutama dalam kaunter teknologi dan peningkatan minat belian dalam sektor pembinaan.
“Peningkatan ini dilihat wajar memandangkan penilaian kaunter-kaunter tersebut masih rendah, selain prospek pendapatan yang stabil disokong projek infrastruktur mega dan pelaburan pusat data dalam negara,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.97, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.20, manakala CIMB susut dua sen kepada RM7.55. IHH Healthcare pula kekal pada RM8.25.
Bagi kaunter paling aktif, Malayan United Industries dan MMAG masing-masing naik setengah sen kepada 6.5 sen dan 8.5 sen, manakala Perak Transit meningkat 1.5 sen kepada 30 sen. AHB susut setengah sen kepada 3.0 sen dan Aquawalk tidak berubah pada 38 sen.
Antara kaunter paling untung, BLD Plantation menambah RM1.02 kepada RM13.80, United Plantations naik 38 sen kepada RM28.38, Kuala Lumpur Kepong meningkat 30 sen kepada RM21.10 dan Kelington menokok 17 sen kepada RM5.33.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle turun 10 sen kepada RM112.20, Hume Cement susut tujuh sen kepada RM3.22, manakala Amway dan AEON Credit masing-masing berkurangan empat sen kepada RM4.89 dan RM1.15.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 39.72 mata kepada 11,839.47, Indeks FBM Emas meningkat 41.85 mata kepada 12,067.15, manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 51.55 mata kepada 12,065.85.
Indeks FBM ACE mengukuh 30.21 mata kepada 4,952.96, manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 100.44 mata kepada 16,912.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.27 mata kepada 18,464.34, Indeks Perladangan naik 63.46 mata kepada 8,288.99, Indeks Tenaga bertambah 0.87 mata kepada 759.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.49 mata kepada 165.82.
-- BERNAMA