ISKANDAR PUTERI, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membangunkan Modul Komuniti Perlindungan Hidupan Liar (KPHL) bagi memberi panduan, kemahiran dan tatacara keselamatan kepada komuniti setempat dalam menangani konflik manusia-hidupan liar di Johor.
Pengerusi Alam Sekitar dan Kesihatan negeri Ling Tian Soon berkata modul itu merangkumi pengenalan spesies hidupan liar utama, penggunaan alat penghalau yang dibenarkan serta protokol pelaporan dan amaran awal kepada Perhilitan.
“Komuniti akan dilatih mengikut kawasan sebagai pasukan sokongan rondaan lapangan, termasuk menyampaikan maklumat segera dan melaksanakan tindakan penghalauan awal mengikut SOP Perhilitan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.
Beliau menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) mengenai usaha kerajaan negeri menggunakan dron dan rondaan malam di kawasan konflik bagi tujuan pengesanan awal dan amaran komuniti.
Ling (BN-Yong Peng) berkata pelaksanaan modul itu dijangka meningkatkan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti di kawasan berisiko tinggi, sejajar pendekatan pengurusan bersama antara agensi kerajaan dan masyarakat.
Usaha itu juga, katanya, selaras dengan pendekatan pengurusan bersama antara agensi kerajaan dan masyarakat bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan manusia serta kelestarian biodiversiti negara.
“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, Perhilitan yakin keupayaan pengesanan awal, amaran komuniti serta tindakan balas terhadap konflik hidupan liar dapat dipertingkatkan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata usaha itu adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia-hidupan liar secara mampan dan berkesan.
-- BERNAMA