Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri kenaikan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup rendah hari ini dalam keadaaan petunjuk bercampur-campur daripada pasaran getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh penurunan jualan kenderaan China dan prospek yang semakin berkurangan bagi penurunan kadar faedah pada Disember di Amerika Syarikat
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dikekang oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS, berita positif mengenai terdapat bekalan semikonduktor dan kebimbangan yang berterusan mengenai bekalan getah,” katanya kepada Bernama.
Peniaga berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Khamis, disokong oleh kelemahan yen dan kebimbangan dari segi bekalan.
Beliau berkata, dilaporkan, aktiviti menoreh getah di kawasan pengeluar utama China iaitu Yunnan dan Hainan dihentikan pada akhir bulan ini sekali gus mengurangkan bekalan getah asli domestik dan aktiviti penyimpanan stok musim daun pokok getah luruh dilihat menyokong harga getah.
“Selain itu, China turut menyambut baik keputusan Netherlands untuk menarik diri daripada mengambil alih syarikat pembuat cip Nexperia, dan menyifatkannya sebagai ‘langkah pertama yang tepat’ ke arah membantu mengurangkan kekurangan bekalan cip selepas perbincangan antara kedua-dua kerajaan,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 susut sembilan sen kepada 726 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 575.5 sekilogram.
-- BERNAMA