PASARAN

Pasaran Getah Diniagakan Dalam Jajaran Terhad Dengan Kecenderungan Menaik Minggu Depan

22/11/2025 10:51 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran terhad pada minggu hadapan dengan kecenderungan harga yang lebih tinggi dan dipengaruhi oleh monsun timur laut selain ketegangan yang semakin meningkat di antara Kesatuan Eropah (EU) dengan Rusia, kata pakar industri Denis Low.

Beliau memberitahu Bernama iaitu konflik Eropah yang berpanjangan akan meningkatkan ketidaktentuan untuk perniagaan dan menjejaskan harga serta permintaan komoditi manakala monsun timur laut akan memberi impak kepada pengeluaran getah.

“Ini merupakan berita buruk untuk Eropah. Perang habis-habisan akan sangat memusnahkan kemanusiaan. Ia akan memberi impak kepada semua bentuk perdagangan,” kata Low.

Beliau berkata, monsun timur laut membawa hujan lebat dan berterusan ke kawasan-kawasan utama pengeluaran getah.

“Dua faktor perbezaan yang kuat ini boleh mengimbangi antara satu sama lain dalam dinamik penawaran dan permintaan pasaran getah sehingga menyebabkan ketidaktentuan,” katanya.

Low juga berkata Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran mengenai suhu yang lebih sejuk di kawasan utara, hujan lebat di selatan dan angin kencang di Teluk Thailand.

Beliau berkata jabatan meteorologi itu mengeluarkan nasihat mengenai kesihatan awam semasa musim monsun manakala komuniti pertanian turut dinasihatkan untuk mengambil langkah perlindungan tanaman semasa cuaca sejuk dan angin kencang.

Ribut petir juga dijangka berlaku di beberapa kawasan di Malaysia, katanya.

Seorang lagi peniaga berkata harga getah dijangka dipengaruhi oleh pergerakan pasaran niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan harga penanda aras minyak mentah di tengah-tengah kebimbangan mengenai bekalan getah asli akibat ketidaktentuan cuaca.

“Peniaga juga akan memantau dengan teliti hubungan perdagangan AS-China, perkembangan dalam industri cip semikonduktor, konflik Rusia-Ukraine serta petunjuk ekonomi utama AS dan China,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat sebanyak 0.83 peratus atau enam sen kepada 730.5 sen sekilogram manakala lateks dalam bentuk pukal menokok 1.58 peratus atau 9.0 sen kepada 577 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493764