PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Institut Akhbar Malaysia (MPI) mempelawa semua organisasi media termasuk media arus perdana, digital, radio dan televisyen untuk menghantar penyertaan bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2025 (HKM 2025) yang telah dibuka secara rasmi bermula 15 Nov lepas.
MPI menerusi kenyataan hari ini memaklumkan tarikh tutup penyertaan HKM 2025 ialah pada 14 Jan 2026 manakala pencalonan bagi Tokoh Wartawan Negara, Tokoh Media Negara dan Anugerah Khas dibuka sehingga 31 Mac 2026.
“Maklumat lengkap mengenai syarat, garis panduan serta borang penyertaan boleh didapati di laman rasmi MPI di www.mpi.my/award/hkm-2025.
“Majlis penyampaian HKM 2025 akan berlangsung pada Malam Wartawan Malaysia, yang dijadualkan pada pertengahan Jun 2026,” menurut MPI.
Kenyataan itu memberitahu semua karya terbaik yang dihasilkan sepanjang 2025 akan dinilai oleh panel juri profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan editorial.
Menurut MPI, sebagai anugerah kewartawanan paling berprestij di negara ini, HKM terus menjadi platform penting untuk menampilkan karya wartawan yang berwibawa, berkualiti tinggi dan memberi sumbangan besar kepada pembangunan masyarakat serta industri media Malaysia.
“Penyertaan yang mengetengahkan elemen penyiasatan, pendedahan fakta baharu dan laporan yang mampu memberi impak kepada masyarakat amat dialu-alukan,” menurut kenyataan itu.
Memasuki edisi ke-45 sejak diperkenalkan pada 1980, penganjuran kali ini mempertandingkan 23 kategori dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM450,000 yang ditaja sepenuhnya oleh PETRONAS.
“HKM 2025 memberi penekanan kepada karya yang sarat dengan nilai penyelidikan, ketelitian dalam verifikasi fakta, keupayaan menghuraikan konteks isu secara mendalam, serta penggunaan kreativiti visual seperti infografik dan pendekatan penceritaan digital yang segar dan berwawasan,” menurut MPI.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail berkata HKM bukan sekadar pertandingan, sebaliknya medan penghormatan tertinggi terhadap integriti, keberanian dan profesionalisme wartawan.
-- BERNAMA