PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Jualan Saat Akhir

20/11/2025 07:28 PM

 

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia gagal mempertahankan kenaikan semalam yang menyebabkan ia ditutup rendah hari ini disebabkan pengambilan untung apabila penjualan ke atas saham wajaran tinggi terpilih meningkat dalam dua jam terakhir dagangan.

Walaupun kebanyakan bursa serantau mencatat prestasi lebih tinggi hari ini, namun pelabur kembali mengambil pendirian berhati-hati yang memberi kesan pada pasaran.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.93 mata atau 0.24 peratus kepada 1,619.96 daripada 1,623.89 ketika ditutup Rabu.

Indeks penanda aras dibuka 4.55 mata lebih tinggi kepada 1,628.44 dan bergerak antara 1,619.26 dan 1,629.69 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran yang lebih luas, saham untung mengatasi yang rugi sebanyak 692 berbanding 452, manakala 547 kaunter kekal tidak berubah, 1,095 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 4.70 bilion unit bernilai RM2.94 bilion berbanding 4.64 bilion unit bernilai RM2.96 bilion pada hari sebelumnya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur menunggu laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) bagi September yang tertunda susulan penutupan kerajaan. Laporan itu akan dikeluarkan hari ini.

Di pasaran tempatan pula, indeks penanda aras menurun daripada kenaikan awal kerana minat belian beralih kepada saham-saham yang bermodalkan sederhana dan kecil.

“Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhannya menunjukkan kekuatan yang menggalakkan, disokong oleh jumlah dagangan yang tinggi sepanjang beberapa sesi lalu, menandakan pelabur semakin kembali ke pasaran tempatan.

“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,620-1,635 menjelang hujung minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.90, CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing turun empat sen kepada RM7.53 dan RM13.14, IHH Healthcare merosot 12 sen kepada RM8.13, manakala Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.30.

Bagi saham paling aktif, V.S. Industry dan Perak Transit masing-masing susut setengah sen kepada 44 sen dan 28 sen, Aquawalk turun 2.5 sen kepada 35.5 sen, manakala Zetrix AI naik satu sen kepada 85.5 sen, dan Tanco meningkat dua sen kepada RM1.03.

Dalam kalangan saham yang paling untung, Nestle menokok RM1 kepada RM113.30, BLD Plantation melonjak 52 sen kepada RM13.30, Petronas Dagangan meningkat 36 sen kepada RM21.48, manakala Chin Teck Plantations dan United Plantations masing-masing menambah 30 sen kepada RM10.86 dan RM28.30.

Bagi saham yang paling rugi, PPB merosot 46 sen kepada RM11.14, Kuala Lumpur Kepong susut 20 sen kepada RM20.60, Sunway Construction turun 13 sen kepada RM5.73, manakala AmBank dan Mesiniaga masing-masing susut 10 sen kepada RM5.73 dan RM1.20.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 2.45 mata kepada 11,797.29, Indeks FBM Emas meningkat 5.71 mata kepada 12,031.01, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 10.33 mata kepada 12,024.63.

Indeks FBM ACE meningkat 50.81 mata kepada 4,973.56 manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 110.38 mata kepada 16,922.78.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 0.67 mata kepada 8,226.20, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 1.07 mata kepada 166.40, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 20.68 mata kepada 18,423.38 dan Indeks Tenaga susut 1.40 mata kepada 757.29.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat 1.53 bilion unit bernilai RM2.29 bilion berbanding 1.46 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Rabu. 

Jumlah dagangan waran bertambah kepada 2.71 bilion unit bernilai RM488.20 juta daripada 2.47 bilion unit bernilai RM394.73 juta pada hari sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 457.42 juta unit bernilai RM162.05 juta daripada 711.02 juta unit bernilai RM232.33 juta sebelum ini.

Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan mencatatkan 416.85 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (261.50 juta), pembinaan (101.20 juta), teknologi (237.04 juta), perkhidmatan kewangan (71.34 juta), hartanah (133.51 juta), perladangan (59.33 juta), REIT (19.86 juta), dana tertutup (24,400), tenaga (82.25 juta), penjagaan kesihatan (59.82 juta), telekomunikasi dan media (35.35 juta), pengangkutan dan logistik (35.73 juta), utiliti (24.72 juta) dan amanah perniagaan (79,000).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493231