EKONOMI

NuEnergy Peroleh Dua Kontrak Loji Solar Berskala Besar Di Sabah Berjumlah RM56.3 Juta

20/11/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- NuEnergy Holdings Bhd (NHB) telah memperoleh dua kontrak loji solar fotovoltaik berskala besar (LSSPV) di Sabah, bernilai RM56.3 juta. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, NHB berkata ia menerima surat lantikan daripada Muhibbah Solar Sdn Bhd bagi kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan loji LSPPV arus ulang-alik (MWac) 15 megawatt di Beaufort, Sabah berjumlah RM16.89 juta. 

Syarikat itu berkata ia turut menerima surat lantikan kedua bernilai RM39.41 juta daripada Muhibbah Solar bagi penjualan dan pembelian bahan solar bagi projek itu. 

NHB berkata kontrak itu dijangka mengukuhkan kehadirannya dan mempercepatkan penembusan pasaran di Malaysia Timur.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan keuntungan NHB, sambil menunjukkan keupayaan dan kapasiti teknikal syarikat untuk melaksanakan projek berskala besar di Malaysia Timur.

“Ia turut mengukuhkan reputasi dan daya saing NHB dalam pasaran serantau, sekali gus meletakkan NHB untuk pertumbuhan berterusan dan peluang masa depan di seluruh Malaysia Timur,” katanya. 

Projek itu dijadualkan siap pada suku keempat 2026 dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493259