KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerima purata 600 aduan setiap tahun sejak tujuh tahun lepas berkaitan isu pembinaan dan pengubahsuaian rumah.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Zainora Zainal berkata dalam tempoh tujuh tahun itu, sebanyak 3,201 aduan diterima dengan 564 kes direkodkan pada tahun lepas manakala sejak awal tahun ini hingga Oktober lepas sahaja, sebanyak 367 aduan telah dicatat.
Beliau berkata antara aduan tertinggi ialah pelanggaran perjanjian kontrak (130 kes) diikuti 86 kes kualiti pembinaan tidak memuaskan dan 50 kes membabitkan kontraktor yang tidak berdaftar dengan CIDB.
“Selain itu, sebanyak 22 kes berkaitan kacau ganggu, 20 kes kegagalan mematuhi aspek keselamatan,18 kes tunggakan bayaran kepada kontraktor turut direkodkan dan 17 kes ketidakpatuhan piawaian bahan binaan,” katanya ketika berucap di Majlis Prapelancaran Program Jom Bina Sempurna di sini hari ini.
Zainora berkata Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 107 aduan diikuti Kuala Lumpur (55), Johor (46) manakala Sabah, Perak dan Pahang yang masing-masing merekodkan 21 kes.
Beliau berkata sehubungan itu, CIDB mengambil inisiatif memperkenalkan Program Jom Bina Sempurna dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang awam mengenai proses pembinaan serta kerja-kerja pengubahsuaian rumah kediaman.
Zainora berkata program baharu itu menampilkan dua komponen utama iaitu Info Hab Jom Bina Sempurna yang menyediakan panduan untuk pemilik rumah dan kontraktor, 100 soalan lazim, maklumat pihak berkuasa tempatan seluruh negara serta borang kontrak CIDB.
Komponen kedua ialah Halaman Facebook “Jom Bina Sempurna” iaitu platform kandungan pendidikan mengenai bina dan ubah suai rumah.
“Walaupun isu-isu pembinaan rumah turut melibatkan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan profesional lain seperti Lembaga Arkitek Malaysia, CIDB tetap mengambil tanggungjawab untuk mendidik pemilik rumah agar lebih celik dalam urusan pembinaan.
“CIDB bukan sahaja menguatkuasakan Akta 520 demi melindungi kepentingan awam malah kami berperanan memastikan pengguna mendapat akses kepada maklumat yang tepat sebelum memulakan projek pembinaan atau ubah suai,” katanya.
Beliau juga berkata sejak 2013, CIDB telah mewujudkan Program Kontraktor Ubah Suai Negara CIDB (CNAR) manakala pada 2022, CIDB memperkenalkan Terma Standard Kontrak Pembinaan Untuk Kerja Ubah Suai dan Projek Kecil bagi membantu pemilik rumah mengikat kontrak yang mudah difahami serta lebih melindungi kepentingan kedua-dua pihak.
Pada masa sama, Zainora turut menjemput PBT, agensi kerajaan, badan profesional serta persatuan industri untuk menjadi rakan strategik dalam menyebarkan maklumat mengenai program itu dan memberikan input kepakaran.
-- BERNAMA