SUKAN

Speedy Tigers Pertaruh Dua Muka Baharu Pada Piala Sultan Azlan Shah 2025

21/11/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Skuad Speedy Tigers mempertaruhkan dua muka baharu bagi menggalas cabaran Piala Sultan Azlan Shah 2025 yang dijadual bermula 23 hingga 30 Nov ini di Ipoh, Perak.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua pemain berkenaan adalah pertahanan Muhammad Nur Asyraf Ishak dan tonggak tengah Zufar Saiful Marsita yang terpilih selepas berjaya menyerlah ketika mewakili Melaka pada saingan Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Ketua jurulatih Speedy Tigers Sarjit Singh berharap kehadiran dua pemain itu mampu memberi impak kepada pasukan kebangsaan.

“Kita ada dua muka baharu untuk edisi tahun ini, kedua-duanya dari Melaka yang bermain baik dalam Piala Tun Abdul Razak 2025. Ini adalah kejohanan pertama mereka dan Zufar yang baru berusia 20 tahun, berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan.

"Sebagai persiapan, kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang Korea, India dan skuad remaja lelaki kebangsaan bagi menguji kombinasi serta menilai tahap kesiapsiagaan pemain," katanya.

Pengurus pasukan senior lelaki kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata ini merupakan peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan oleh kedua-dua pemain berkenaan bagi menyerlahkan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

Beliau berkata edisi ke-31 juga dianggap antara yang berprestij apabila dua gergasi dunia iaitu Belgium yang menduduki ranking ketiga dunia dan India (ketujuh) turut hadir ke Ipoh dengan kesemua pasukan bertanding memiliki matlamat masing-masing pada kejohanan itu.

"Belgium dan India dalam fasa persiapan ke FIH Pro League yang bermula Disember ini, manakala pasukan seperti Malaysia (ke-13 dunia), Korea (ke-15) dan Kanada (ke-20) sedang memperkemas taktikal menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026,” katanya.

Malaysia akan membuka tirai kejohanan kali ini menentang New Zealand pada Ahad, diikuti Kanada (24 Nov), India (26 Nov), Belgium (27 Nov) dan Korea Selatan (29 Nov).

Hanya dua pasukan terbaik dalam kejohanan yang berlangsung dalam format liga sepusingan (round robin) akan berentap pada perlawanan akhir 30 Nov ini.

 

Berikut merupakan senarai 20 pemain yang membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2025 dijadual bermula 23-30 Nov ini di Ipoh, Perak:

 

Penjaga gol: Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohammad Rafaizul Mohamad Saini

 

Pertahanan: Muhammad Marhan Mohd Jalil, Faiz Helmi Jali, Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Muhamad Faris Harizan, Muhammad Nur Asyraf Ishak dan Muhamamad Najib Abu Hassan

 

Tengah: Mohd Fitri Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius, Muhammad Shafiq Hassan, Zufar Saiful Marsita dan Mughni Mohamad Kamal

 

Penyerang: Faizal Saari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri, Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Muhajir Abdu Rauf

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493431