AM

Merdeka 118, Taman Jaya Disinari Cahaya Biru Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025

21/11/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Menara tertinggi negara Merdeka 118 disinari warna biru dari semalam hingga Isnin depan bermula 7 malam hingga 12 tengah malam untuk menandakan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025 sebagai simbol “Janji Kita” kepada setiap kanak-kanak. 

Kenyataan dikeluarkan PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan Taman Jaya di Petaling Jaya, Selangor yang merupakan Bandar Mesra Kanak-Kanak Pertama di Malaysia juga akan disinari cahaya biru esok. 

Kerjasama itu menunjukkan komitmen seluruh masyarakat Malaysia daripada peringkat kepimpinan negara kepada komuniti terhadap hak kanak-kanak.

Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Robert Gass berkata inisiatif itu merupakan peluang kepada rakyat memperbaharui janji mereka kepada setiap kanak-kanak di negara ini. 

“Pencahayaan di menara tertinggi di Malaysia merupakan simbol kepada harapan dan komitmen untuk melindungi, meningkatkan kehidupan dan meraikan anak-anak kita. 

“UNICEF berbesar hati bekerjasama dengan PNBMV dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kepentingan dalam melindungi masa depan setiap kanak-kanak,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata pembinaan menara itu sebagai simbol kebanggaan negara kini turut mencerminkan aspirasi dan harapan rakyat Malaysia.

“Pencahayaan biru sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia melambangkan sokongan PNBMV terhadap misi UNICEF membina negara yang melindungi dan menghargai setiap kanak-kanak,” katanya. 

Kenyataan memaklumkan UNICEF dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan festival keluarga sehari Go Blue in the Park di Taman Jaya esok.  

Taman itu akan “bertukar” menjadi biru ketika matahari terbenam pada 6.45 petang sebagai simbolik hubungan komuniti Petaling Jaya kepada janji negara untuk menegaskan semula komitmen Malaysia kepada setiap kanak-kanak. 

Antara tumpuan utama ialah pondok telefon UNICEF My Day, My Rights yang membolehkan kanak-kanak merakamkan pesanan video mengenai harapan dan idea mereka tentang masa depan lebih baik.

Kenyataan juga memaklumkan kanak-kanak dan golongan muda memainkan peranan penting dalam perbincangan nasional dan serantau sepanjang Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, antaranya dalam isu perubahan iklim dan perlindungan dalam talian. 

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493623