KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Aplikasi mudah alih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) MCMC NEXUS, menerima Digital Inclusion Award (Special Mention) pada Malaysia Digital Transformation Awards 2025.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, anugerah tersebut disampaikan semasa GovInsider Live MY.AI Day bagi menghargai peranan aplikasi itu dalam memperkasakan rakyat Malaysia dengan akses maklumat telus mengenai kualiti perkhidmatan Internet.
“MCMC NEXUS adalah aplikasi mudah alih mesra pengguna yang membolehkan rakyat Malaysia menyemak kualiti perkhidmatan Internet mereka serta menyediakan maklumat masa nyata yang dikumpul secara kolaboratif untuk membantu pengguna memahami pengalaman sambungan mereka dengan lebih baik.
“Data yang dikumpul juga membolehkan MCMC dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan, menyokong peningkatan sambungan digital negara secara lebih menyeluruh dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Aplikasi ini membolehkan pengguna menguji pengalaman pada rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi, termasuk pengukuran kelajuan muat turun dan muat naik, ping dan jitter.
Menurut MCMC, keputusan ujian yang berada di bawah Mandatory Standard for the Quality of Service (MSQoS) dihantar hampir secara masa nyata kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan berkaitan.
“Data Experience Test turut menilai pengalaman pengguna semasa menggunakan Internet, termasuk aktiviti seperti pelayaran web dan permainan dalam talian. Integrasi aplikasi dengan JENDELA Map meningkatkan lagi fungsinya sebagai pelengkap praktikal kepada inisiatif sambungan digital negara,” tambah kenyataan itu.
MCMC berkata pengiktirafan ini menekankan kepentingan memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi, pendapatan atau latar belakang, mempunyai akses saksama kepada perkhidmatan dalam talian yang penting.
-- BERNAMA