KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah dan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang ke-67, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid mendoakan Seri Paduka Baginda dianugerahkan kesihatan yang sempurna, dipanjangkan usia, serta dilimpahi keberkatan dalam memayungi rakyat dan negara.
“Daulat Tuanku!,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut merafak sembah dan mengucapkan tahniah.
“Sembah Takzim daripada patik serta seluruh warga Kementerian Komunikasi dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai. Dirgahayu Tuanku,” katanya.
-- BERNAMA