BUTTERWORTH, 22 Nov (Bernama) -- Seorang kru kapal warga Indonesia dikhuatiri hilang selepas terjatuh dari sebuah kapal tongkang di Pelabuhan Pulau Pinang, di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa dikenali sebagai Abdul Khodir dan berusia 46 tahun.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis pada 3.55 petang tadi, meminta bantuan mengesan mangsa yang merupakan kru kapal Cassandra 2702 dan dikhuatiri telah terjatuh daripada kapal antara 10 malam semalam hingga 2 pagi tadi.
“Kerja mencari dan menyelamat dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar tempat kapal itu ketika mangsa dilaporkan hilang, namun setakat 8 malam ini mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata operasi pencarian terpaksa ditangguhkan ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, selain keadaan laut bergelora dan akan disambung semula pada 8 pagi esok.
John memaklumkan operasi dijalankan oleh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Bomba Pelabuhan dan turut disertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera.
Beliau memaklumkan Pos Kawalan Bomba (PKB) turut dibuka di Pangkalan Marin Mak Mandin dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA