JASIN, 22 Nov (Bernama) -- Politeknik Merlimau Melaka (PMM) terus memperkasakan agenda mobiliti serantau dan kerjasama strategik antarabangsa menerusi penganjuran Program Kursus Jangka Pendek Pertukaran Antarabangsa 2025 (I-VESC 2025) - Nextbound: Pertukaran Global untuk Pengetahuan dan Kerjasama.
Program edisi keempat anjuran Jawatankuasa Kecemerlangan (JKC) Pengantarabangsaan di bawah Kluster Kelestarian PMM itu memberi tumpuan kepada hubungan strategik, pertukaran ilmu dan pembelajaran rentas budaya sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengerusi JKC Pengantarabangsaan PMM Fadhillah Mohd Nasir berkata program yang berlangsung di Politeknik Negeri Sriwijaya (POLSRI), Palembang dari 16 hingga 19 Nov lepas itu menjadi platform penting memperluas jaringan akademik serta penerokaan mobiliti pelajar.
“Melalui pelaksanaan I-VESC, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada pembelajaran rentas budaya, malah berpeluang membangunkan kemahiran komunikasi global, kepimpinan dan keyakinan diri melalui aktiviti kolaboratif yang dirangka bersama rakan institusi antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Delegasi PMM diketuai Timbalan Pengarah (Akademik) Faridatuljana Mohd Noor bersama lima pegawai selain disertai 15 pelajar daripada enam jabatan mengambil bahagian bagi memastikan penglibatan seimbang merentas bidang serta memberikan pendedahan global kepada pelajar.
Fadhillah berkata pengisian program merangkumi kursus Bahasa Inggeris Komunikatif, Penyampaian Berkesan yang memberi fokus kepada teknik komunikasi berkesan dan keupayaan pelajar menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih yakin.
Beliau berkata program itu turut diikuti dengan aktiviti tanggungjawab sosial di Pesantren Al-Amalul Khair merangkumi demonstrasi kemahiran TVET seperti pemasangan paip dan ikatan bata serta gotong-royong, sekali gus mengukuhkan hubungan komuniti dan aplikasi kemahiran praktikal pelajar.
"Selain itu, sesi pembentangan projek pelajar turut diadakan dengan penglibatan pensyarah PMM sebagai panel penilai mengikut bidang kepakaran masing-masing, bertujuan meningkatkan pertukaran ilmu dan kualiti hasil projek pelajar.
"Kemuncak I-VESC 2025 ialah pemeteraian perjanjian usaha sama antara PMM dan POLSRI sebagai kesinambungan kerjasama sejak 2018," katanya.
Fadhillah berkata komitmen berterusan kedua-dua institusi dijangka membuka lebih banyak peluang strategik dalam pembangunan bakat, pengantarabangsaan dan inisiatif kolaboratif jangka panjang yang memberi manfaat kepada warga akademik serta komuniti.
-- BERNAMA