DUNIA

AZERTAC Nyatakan Minat Hidupkan Semula Kerjasama Dengan Bernama

22/11/2025 10:38 PM

Daripada Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Shaher

BAKU (Azerbaijan), 22 Nov (Bernama) -- Agensi Berita Azerbaijan (AZERTAC) menyatakan minat yang  mendalam untuk memperbaharui perjanjian kerjasama yang dimeterai pada 2014 dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), semasa kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin di sini pada Sabtu.

Pengerusi Lembaga AZERTAC Vugar Aliyev berkata perjanjian yang telah berusia sedekad itu perlu dikemas kini agar lebih mencerminkan perubahan landskap media masa kini.

“Dalam tempoh 11 tahun ini, dunia media telah berubah, terutama dengan kemunculan platform digital. Justeru, kami melihat keperluan untuk melakukan beberapa penyesuaian dalam kerjasama kita,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Jabatan Komersial Bernama Mastura Hassan dan Timbalan Editor Eksekutif II, Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer, manakala AZERTAC diwakili Ahli Lembaga Eishan Shahbalayev dan Pakar Hubungan Antarabangsa Aydan Hasanli.

Aliyev turut mengambil peluang mengundang Bernama menyertai Forum Media Shusha tahun depan, sebuah perhimpunan antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun di Azerbaijan dan menghimpunkan organisasi media, wartawan serta pakar dari seluruh dunia bagi membincangkan trend media dan kerjasama rentas sempadan.

Pada Julai lepas, Azerbaijan menjadi tuan rumah Forum Media Global Shusha ketiga bertemakan “Digital Pathways: Strengthening Information and Media Resilience in the Age of AI”.

Sementara itu, Nur-ul Afida mengalu-alukan cadangan berkenaan sambil menyatakan penghargaan terhadap komitmen AZERTAC dalam memperkukuh hubungan, termasuk potensi memperluas kerjasama seperti pertukaran kandungan berita, foto, bahagian filem dan video.

“Saya percaya masih banyak ruang untuk kita bekerjasama dengan lebih rapat,” katanya.

Beliau turut berterima kasih atas jemputan ke Forum Media Shusha dan pada masa yang sama menzahirkan kesediaan untuk menerima kunjungan wakil AZERTAC ke Malaysia.

Kunjungan hormat itu diadakan di  luar Forum Media D-8. di sini  yang menghimpunkan pemimpin media daripada negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun bagi Kerjasama Ekonomi (D-8) bagi membincangkan strategi memperkukuh kerjasama dan perkongsian maklumat serantau.

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493997