JENAYAH & MAHKAMAH

KDN Saran Pusat Racun Negara Buat Kajian Kesan IQOS

23/11/2025 06:14 PM

ALOR SETAR, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyarankan Pusat Racun Negara mengkaji peranti pemanas tembakau atau IQOS yang dikeluarkan sebuah syarikat rokok terkemuka.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata meskipun kesan penggunaan peranti itu terhadap kesihatan belum diketahui namun kajian awal boleh dilakukan sebagai persediaan untuk kerajaan menggubal sebarang undang-undang berkaitan.

“Belum pun isu vape reda, syarikat rokok terkemuka dunia sudah mereka satu lagi (peranti). Yang ini barangkali Pusat Racun Negara boleh mula mengesan juga iaitu IQOS.

“Peranti ini tidak membakar (burn) ia kepanasan (heat). Slogannya ialah “jika anda tidak merokok, jangan mulakan. Jika anda merokok, cuba berhenti. Jika tidak boleh, bertukar ke produk kami.” Itu kempen mereka. Sama ada beri kesan kesihatan atau tidak, belum kita tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 yang dirasmikan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, tidak seperti rokok biasa, peranti itu berfungsi memanaskan tembakau dan ia dilihat sebagai inovasi yang memberi cabaran kepada negara.

“Sebab itu saya boleh memahami cabaran yang menunggu kita, tetapi itu bidang kuasa Kementerian Kesihatan untuk menguruskan banyak lagi perkara berkaitan,” katanya.

Katanya kerajaan menyedari bahawa peruntukan undang-undang dan peraturan berkaitan penyalahgunaan dadah serta racun tidak boleh bersifat statik, sebaliknya perlu dinamik agar dapat disesuaikan dengan penemuan bahan baharu.

“Kita tidak mampu mengejar penemuan bahan baharu, racun baharu. Kalau tunggu masuk senarai racun baharu, baru kita hendak buat kerja, tidak jadi apa. Jadi kita boleh cadangkan pindaan (undang-undang) itu bersifat generik (umum).

“Tetapi masih mampu mencakupi kehendak sebenar maksud undang-undang. Kalau tunggu semuanya sempurna tentu ada sahaja ruang lolosnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan meluluskan tidak kurang RM500 juta kepada AADK untuk menjalankan tugas hakikinya dalam mengekang penyalahgunaan dadah.

Namun beliau menegaskan tanggungjawab itu tidak harus dipikul satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan sokongan pihak lain termasuk swasta yang boleh memainkan peranan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494225