JENAYAH & MAHKAMAH

Kru Kapal Warga Indonesia Ditemukan Lemas

23/11/2025 09:32 PM

GEORGE TOWN, 23 Nov (Bernama) -- Seorang kru warga Indonesia dipercayai terjatuh dari sebuah kapal tongkang di Pelabuhan Pulau Pinang semalam, ditemukan lemas di Pulau Keramat, Tanjung Bungah di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa berusia 46 tahun ditemukan 4.45 petang oleh nelayan yang berada di lokasi tersebut.

"Pasukan Keluaran Operasi Bomba yang tiba di lokasi membantu mengangkat mayat mangsa ke pesisir pantai sebelum menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu merupakan kru yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kapal dan operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pada 7.40 malam ini.

Semalam, media melaporkan pihak bomba  menerima panggilan daripada pihak polis pada 3.55 petang, meminta bantuan mengesan mangsa yang merupakan kru sebuah kapal dan dikhuatiri telah terjatuh antara 10 malam hingga 2 pagi semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494291