KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang dan Perak menjadi dua negeri terbaharu dilanda banjir, manakala jumlah mangsa bencana itu di Kelantan, Kedah dan Perlis yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat, setakat 8 malam ini.
Bagaimanapun situasi banjir di Terengganu mencatatkan penurunan mangsa pada sebelah malam ini selepas sebahagian daripada mereka mengambil peluang untuk pulang ke kediaman masing-masing, apabila keadaan banjir yang semakin pulih.
Di PULAU PINANG, sebanyak 128 mangsa membabitkan 30 keluarga dari Permatang Berangan, di Tasek Gelugor ditempatkan di dua PPS yang dibuka petang tadi di Kampung Desa Puri (115 mangsa daripada 28 keluarga) dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya (13 mangsa, dua keluarga).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor Mohd Yazi Taib berkata selain hujan lebat, limpahan air dari Sungai Jadak menyebabkan berlaku banjir di kawasan Kampung Desa Puri dan Kampung Simpang Tiga Tasek Gelugor tersebut.
Di PERAK, dua PPS dibuka masing-masing sebuah di Batang Padang dan Perak Tengah pada malam ini dan jumlah mangsa banjir masih belum diketahui.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori berkata setakat 8.10 malam ini, lima keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Sungkai.
Sementara itu, Pegawai Daerah Perak Tengah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Perak Tengah Mohd Zaki Abdul Rahman berkata sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga di Parit dibuka pada 7.15 malam tadi.
“Laporan berkaitan jumlah keluarga dan mangsa akan menyusul dalam masa terdekat,” katanya.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak kepada 7,830 mangsa daripada 2,888 keluarga malam ini, berbanding 2,047 mangsa pada sebelah petang tadi yang ditempatkan di 31 PPS di empat jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Berdasarkan Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok mencatat 7.59 meter (m), melebihi tahap waspada 7.0m.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 404 orang daripada 122 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 356 orang daripada 106 keluarga, petang tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Kulim itu, ditempatkan di tiga PPS iaitu di Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan SK Permatang Tok Dik.
Situasi di PERLIS pula mencatatkan 114 mangsa (35 keluarga) ditempatkan di tiga PPS iaitu di SK Felda Mata Ayer, SK Lubuk Sireh dan Dewan Semai Bakti Felda Mata Air di Padang Besar.
Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, mangsa banjir itu terdiri daripada 40 lelaki dan 35 wanita dewasa, 20 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan serta dua bayi lelaki dan perempuan.
Di TERENGGANU, mangsa banjir menurun daripada 531 orang (146 keluarga) sebelah petang tadi, kepada 359 mangsa (106 keluarga) pada 8 malam ini di daerah Besut dengan dua PPS dibuka sejak pagi tadi iaitu di SK Kuala Besut dan SK Pulau Perhentian.
-- BERNAMA