AM

PLUS Aktif Laluan Kontra Di Lebuhraya ELITE Malam Ini Hingga 27 Nov

24/11/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan kontra di antara laluan Bandar Saujana Putra-Putrajaya dari Kilometer (KM) 18 hingga KM19.5 di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) malam ini hingga 27 Nov depan.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengaktifan laluan itu bermula pada 11 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut.

“Langkah ini diambil bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan paip air oleh kontraktor pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PLUS menyarankan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan sepanjang tempoh tersebut dan mematuhi peraturan tanda trafik serta arahan petugas PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi Aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, Aplikasi X@plustrafik atau Papan Tanda Elektronik (VMS) di lokasi terpilih selain menghubungi talian PLUSLine 1800-88-0000 untuk sebarang bantuan kecemasan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494425