Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 960,099 pengundi muda berusia antara 18 hingga 39 tahun layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menjadikan mereka kelompok terbesar dalam kalangan 1.78 juta pemilih berdaftar di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Angka ini sekali gus meletakkan pengundi muda sebagai faktor penting yang berpotensi mencorakkan landskap politik Sabah pada PRN kali ini.
Menyedari hakikat itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menasihati pengundi muda agar menggunakan kematangan dan kebijaksanaan dalam membuat penilaian, dengan memastikan kerajaan negeri yang dipilih benar-benar mampu membawa kemajuan dan pembangunan mampan kepada Sabah.
“Nilailah dengan baik. Jangan ikut emosi. Gunakan kebijaksanaan untuk melihat bukti kejayaan dan prestasi pencapaian semasa kami (kerajaan Gabungan Rakyat Sabah) menerajui kerajaan Sabah,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini baru-baru ini.
Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa mengutamakan kepentingan belia dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan golongan itu yang merupakan aset penting dalam memacu kemajuan dan menentukan hala tuju negeri.
Beliau berkata kesungguhan kerajaan Sabah itu dapat dilihat menerusi pemberian biasiswa, bantuan pendidikan dan latihan kemahiran yang menjadi antara komponen utama untuk memperkasakan golongan berkenaan.
Menurut Hajiji, kerajaan Sabah telah membelanjakan kira-kira RM1.3 bilion untuk menyokong pendidikan anak muda di negeri itu dalam tempoh lima tahun ini kerana pendidikan ialah medium paling ampuh bagi melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Selain itu, program pembangunan kepimpinan belia yang merangkumi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial turut diberi perhatian termasuk pelaksanaan pelbagai program keusahawanan belia serta wanita memulakan perniagaan kecil-kecilan, antara lain menerusi inisiatif Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS).
“Jika kita mahu Sabah terus maju, kita kena melabur untuk orang muda. Kita mahu rakyat pandai, bijak dan mempunyai pelbagai kemahiran untuk mereka menyumbang kepada negeri mereka, untuk kemajuan negeri mereka. Perkara yang kita buat sekarang ini adalah untuk masa depan mereka.
“Pelaburan kepada orang muda ini amat penting. Kita berjuang untuk orang muda, untuk generasi akan datang. Itulah sebenarnya perjuangan yang kita gariskan sekarang, untuk rakyat kita, generasi kita pada masa akan datang,” katanya.
Hajiji turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk sentiasa berusaha melakukan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan belia dengan menekankan bahawa tanggungjawab memperkasakan pembangunan golongan itu tidak boleh diabaikan.
Atas dasar itu, Hajiji berkata pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadikan pembangunan pendidikan dan modal insan sebagai antara inti pati utama dalam matlamat pembangunan terbabit, dengan pelbagai program serta inisiatif diperkenalkan sepanjang lima tahun ini.
Antara yang dilaksanakan termasuklah bantuan RM200 sekali pemberian kepada hampir 40,000 pelajar tingkatan empat dan lima setiap tahun serta pemberian biasiswa menerusi Tabung Pendidikan Sabah yang diperuntukkan sebanyak RM145 juta bagi tahun ini.
Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) turut menyaksikan pemberian RM300 sebulan yang kini telah mencecah hampir 100,000 penerima manfaat, kata Hajiji.
Menerusi inisiatif Rumah Mesra SMJ, Hajiji berkata sebanyak 10 unit tambahan disediakan bagi setiap kawasan DUN untuk golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga bermula pada tahun depan.
“Dengan ini, 50 buah di setiap DUN di Sabah tahun depan sekiranya kita sekali lagi diberi mandat untuk menjadi kerajaan,” katanya sambil menambah bahawa kutipan hasil negeri yang banyak dipulangkan semula kepada rakyat.
Mengulas tentang manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan pada 17 Nov lepas, Hajiji berkata perkara itu turut mengutamakan usaha memperkasakan pembangunan belia menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan khas untuk golongan berkenaan.
Manifesto GRS berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema "Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan" itu akan dipacu menerusi empat rukun utama, iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu yang diterjemahkan melalui 16 strategi.
Pada PRN kali ini, GRS akan bertanding di 55 daripada 73 kerusi DUN.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal akan berlangsung esok.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA