AM

KPDN Buka Bilik Gerakan Di Negeri Terjejas Banjir, Pastikan Bekalan Makanan Mencukupi

24/11/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuka bilik gerakan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi di negeri-negeri yang terjejas banjir sepanjang musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata bilik gerakan yang mula beroperasi hari ini dibuka di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, dan setakat ini tiada lokasi terlibat yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan makanan.

"Di negeri-negeri yang terkesan, kita ada bilik gerakan untuk memantau jika bekalan terputus di mana-mana lokasi. Contohnya, jika barang keperluan asas seperti gula dan minyak habis, bilik gerakan akan memastikan bekalan itu sampai ke kawasan terjejas," katanya pada sidang media selepas Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata persiapan telah dilakukan dengan melibatkan 2,102 pemborong, peruncit, dan pengilang terpilih di seluruh negara, yang dibenarkan menambah simpanan bekalan makanan sehingga 30 peratus bermula awal bulan ini sehingga akhir musim tengkujuh.

Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri setakat 8 pagi ini meningkat kepada 10,922 orang, dengan Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 8,248 orang daripada 3,022 keluarga yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pulau Pinang, Perlis, dan Perak turut mencatat peningkatan jumlah mangsa, manakala di Kedah dan Terengganu menurun. Selangor pula menjadi negeri terbaharu yang terjejas akibat banjir.

 -- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494493