AM

Wanita Dalam Video Perbualan Bersama Albert Tei Hadir Beri Keterangan Di SPRM

27/11/2025 10:31 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan wanita yang dilihat dalam klip video perbualan bersama seorang ahli perniagaan Albert Tei bagi membantu siasatan melibatkan tohmahan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Wanita itu tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada 2.30 petang ditemani peguamnya, R. Shugan dan setakat 8 malam, proses mengambil keterangannya belum selesai.

Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan telah menghubungi Shamsul Iskandar dan dimaklumkan beliau tidak dapat hadir hari ini kerana berada di Sabah dan akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM petang esok.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mahu siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Tei dan Shamsul Iskandar, diselesaikan segera dan telah mengarahkan pegawainya untuk menyiapkan siasatan dalam tempoh dua minggu.

Selasa lepas, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

 -- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496277