KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di lima negeri terjejas setakat 4 petang ini menunjukkan trend meningkat.
Peningkatan direkodkan di Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah manakala mangsa di Terengganu menurun.
Di KELANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 9,634 daripada 3,515 keluarga petang ini berbanding 8,248 orang direkodkan pagi tadi.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan 38 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat jajahan, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Sementara itu, Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air dua sungai utama menunjukkan trend menaik dan telah melepasi tahap waspada.
Sungai Melor, Bachok merekodkan paras air 7.68 meter (m) melepasi tahap waspada 7m pada 3 petang manakala paras air Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas ialah 7.49 m, iaitu 0.49 m melebihi had waspada.
Di PULAU PINANG jumlah mangsa banjir petang ini ialah 404 mangsa daripada 104 keluarga di empat PPS meningkat berbanding 237 mangsa pagi tadi.
lnfobencana JKM setakat 2.16 petang memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi dalam mukim Permatang Berangan, Daerah Seberang Perai Utara menempatkan paling ramai mangsa iaitu 161 mangsa daripada 47 keluarga diikuti Pusat Pemindahan Desa Puri dengan 108 mangsa daripada 28 keluarga.
“Sebanyak 85 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS SK Pengkalan Jaya manakala PPS di Daerah Seberang Perai Tengah iaitu SK Permatang Pasir menempatkan 50 mangsa daripada 11 keluarga,” menurut maklumat laman sesawang itu.
Situasi sama berlaku di PERAK apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,415 mangsa daripada 440 keluarga petang ini berbanding 900 mangsa daripada 290 keluarga di 20 PPS di daerah Manjung, Perak Tengah, Larut, Matang dan Selama serta Hilir Perak.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Sungkai yang menempatkan tiga sekeluarga malam tadi ditutup 8 pagi tadi.
Sekretariat turut memaklumkan Hilir Perak daerah terbaharu dilanda banjir melibatkan 70 mangsa daripada 18 keluarga dari Kampung Batu 8, Kampung Glouster, Kampung Selabak dan Kampung Batu 9 yang berlindung di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.
Daerah Manjung kawasan teruk terjejas apabila 837 mangsa daripada 251 keluarga ditempatkan di 10 PPS manakala empat PPS di Daerah Perak Tengah menempatkan 470 mangsa daripada 160 keluarga dan PPS Sekolah Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama dihuni 38 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Berjaya.
Di SELANGOR mangsa banjir ditempatkan di lapan PPS meningkat kepada 327 orang setakat 3.30 petang melibatkan 109 keluarga dari lima daerah berbanding 110 orang pagi tadi.
InfoBencana JKM memaklumkan PPS itu ialah Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam di Sabak Bernam; Pusat Perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya; SK Sungai Serai, Hulu Langat dan Masjid Al Falah Kampung Budiman, Shah Alam.
Tiga PPS terbaharu ialah SK Bukit Kerayong, Kuala Selangor; Dewan Bakawali, Seksyen 35 dan SK Binjai, Klang.
Di KEDAH, Kubang Pasu menjadi daerah baharu terjejas bencana itu selepas Kulim dan JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan lima PPS dibuka di daerah tersebut namun jumlah mangsa masih dalam bancian.
“Lima PPS yang dibuka pagi tadi ialah SMK Changlun, Masjid Al-Ihsan Changkat Setol, SK Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi dan SK Binjal.
“Sementara itu, jumlah mangsa di Kulim ialah 371 mangsa daripada 110 keluarga di tiga PPS iaitu di Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan SK Permatang Tok Dik,” menurut kenyataan itu.
Laman Public Infobanjir memaklumkan tiga sungai telah melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Laka pada paras 23.47 m dan Sungai Sintok (45.24m) kedua-duanya di Kubang Pasu dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (4.08m).
Sementara itu, di TERENGGANU jumlah mangsa banjir menurun kepada 205 mangsa daripada 77 keluarga setakat 3 petang ini, berbanding 282 mangsa daripada 91 keluarga yang direkodkan 8 pagi tadi.
InfoBencana JKM memaklumkan kesemua mangsa berlindung di PPS Kuala Besut, Besut yang dibuka pagi semalam, manakala PPS SK Pulau Perhentian ditutup malam tadi selepas semua penduduk dibenarkan pulang ke kediaman mereka.
-- BERNAMA