Oleh Nurul Syahirah Zulkifli
KANGAR, 24 Nov (Bernama) -- Dalam situasi air mencecah hampir ke paras pinggang, pasukan sukarelawan UNITED SIKHS Malaysia bergegas memasuki Hat Yai untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas banjir akibat hujan lebat di wilayah selatan Thailand sejak Jumaat lepas.
Misi kemanusiaan itu digerakkan pada Sabtu sebaik menerima panggilan kecemasan daripada sebuah keluarga yang terperangkap di sebuah hotel di bandar berkenaan.
Presiden UNITED SIKHS Malaysia Sunil Shukvir Singh berkata pasukan mereka bertolak pada 7 malam Sabtu dari Kuala Lumpur dengan membawa bot penyelamat dan bot berkuasa motor serta peralatan bantuan lain yang dimuatkan dalam dua lori sebelum bergerak ke sempadan.
“Kami menerima SOS daripada satu keluarga yang terperangkap di Hat Yai. Air ketika itu sangat tinggi tetapi kami mampu meredahnya dengan bot penyelamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sunil berkata sebaik tiba awal pagi semalam, keadaan nyata lebih buruk apabila mereka dibanjiri lebih 500 permintaan bantuan daripada pelancong Malaysia yang terkandas di beberapa hotel sekitar Hat Yai.
“Satu hotel sahaja ada 400 orang, beberapa hotel lain juga ada puluhan yang menunggu diselamatkan. Kami menghantar mereka ke kawasan lebih tinggi untuk elakkan risiko banjir,” katanya.
Menurutnya operasi mereka berjalan hampir tanpa henti dari pagi hingga 9 malam tadi dan sebahagian pasukan memilih untuk bermalam di kawasan selamat apabila air mulai surut namun keadaan berubah semula apabila hujan kembali.
“Ramai jatuh ketika cuba meredah jalan kerana arus kuat. Kereta pun tidak boleh masuk kerana paras air mencecah empat kaki. Kami sendiri terpaksa menggunakan lori besar untuk menyelamatkan mereka,” katanya.
Sunil berkata pada masa ini terdapat antara 100 hingga 150 rakyat Malaysia masih terperangkap di kawasan Sadao berikutan laluan keluar dinaiki air.
“Ada yang bersama anak kecil. Mereka tak boleh bergerak langsung. Pasukan kami sudah ke sana untuk kumpul mereka, bawa naik bot dan seterusnya pindahkan ke lori besar menuju ke kawasan selamat,” katanya.
Beliau memaklumkan operasi itu turut dibantu 40 anggota Sukarelawan Bomba dari Sungai Petani yang kini bekerjasama dengan UNITED SIKHS.
Sunil berkata misi menyelamat itu dijangka berterusan sehingga lewat malam ini namun bergantung kepada keadaan cuaca dan laluan yang boleh diakses memandangkan laluan sukar dilalui ekoran arus deras.
“Visi kami sepanjang 48 jam ini hanya satu (iaitu) selamatkan seramai mungkin rakyat Malaysia yang masih terperangkap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat satu pasukan sukarelawan UNITED SIKHS yang telah pun bersiap sedia bila-bila masa untuk digerakkan membantu mangsa banjir di negara ini yang sedang berlaku di beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah dan Perlis.
-- BERNAMA