JENAYAH & MAHKAMAH

Kegiatan Melombong Emas Haram Tumpas, Enam Lelaki Ditahan

24/11/2025 07:18 PM

KUANTAN, 24 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan dan lima pekerja warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat melombong emas secara haram di Kampung Bolok, Temerloh, Sabtu lepas. 

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kesemua lelaki berusia antara 25 hingga 38 tahun ditahan pada 8 pagi menerusi OPS Bersepadu Khazanah yang dijalankan bersama-sama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP). 

“Pasukan operasi merampas antaranya dua jengkaut, lori, pam air dan kuali mendulang dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai lebih RM1.14 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Radzi memaklumkan barang rampasan diserahkan kepada UPNP dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh untuk tindakan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang serta Seksyen 55(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494658