TUMPAT, 24 Nov (Bernama) -- Pengurusan yang cekap di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini yang menyediakan setiap keperluan dengan teratur dan mencukupi, membuatkan mangsa banjir "terlupa" seketika musibah yang melanda mereka.
Rosnani Abbas, 57, dari Kampung Taman Sri Dalam Rhu berkata dia yang berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelaboran pada 5 petang semalam, selepas rumahnya dinaiki air pada paras lutut akibat hujan lebat berterusan sejak Jumaat, berpuas hati dengan keadaan di tempat perlindungan itu.
"Apabila sampai, dalam masa setengah jam semuanya sudah siap seperti khemah, tikar dan ruang untuk berehat. Semuanya diurus dengan baik. Agensi kerajaan seperti NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) benar-benar memastikan kami berasa selesa," katanya kepada Bernama hari ini.
Sakilah Abdul Rahman, 32, turut bersyukur kerana bukan sahaja petugas di PPS berkenaan cekap, tetapi juga penyediaan makanan tersusun dan mencukupi untuk semua penghuni.
“Hampir setiap waktu menu berbeza seperti mihun goreng, nasi dengan ayam goreng dan air bersih sentiasa cukup. Tiga anak saya berusia setahun hingga 11 tahun pun selesa di sini, tidak meragam langsung," katanya.
Sakilah berpindah dari Perumahan Sri Dalam Rhu pada petang Sabtu selepas air naik kira-kira 0.5 meter kerana enggan mengambil risiko pengalaman tahun lepas berulang, ketika air mencecah paras dada.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua petugas. Kerjasama dan pengurusan yang baik ini menunjukkan betapa eratnya hubungan antara pihak berkuasa dengan masyarakat dalam menghadapi banjir di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JKM Tumpat Fathiah Ibrahim berkata penempatan khemah di PPS perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselesaan setiap mangsa.
Beliau berkata bagi PPS berskala kecil, penempatan tidak boleh melebihi 500 khemah, manakala PPS berskala besar boleh menempatkan hingga 2,000 khemah atau lebih.
“Kebiasaannya satu kelas (di PPS) mampu menampung tiga khemah. Khemah dan tikar ialah keperluan asas yang wajib diberikan. Keperluan tambahan seperti lampin pakai buang juga akan diusahakan jika perlu, terutama untuk anak-anak kecil,” katanya.
Fathiah yang juga Pengurus PPS Jajahan Tumpat berkata mangsa banjir akan menerima makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama PPS dibuka sebelum digantikan dengan makanan yang dimasak.
“Tiga hidangan utama disediakan, iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam termasuk kudapan. Semua masakan disediakan secara bergotong-royong oleh tukang masak yang ditempatkan di Pejabat Dewan Undangan Negeri," katanya.
-- BERNAMA