POLITIK

Pendidikan Antara Agenda Perjuangan Calon GRS Di Sekong

24/11/2025 08:34 PM

SANDAKAN, 24 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong Puan Sri Diana Deigo@Yusrina Sufiana menjadikan pendidikan sebagai antara agenda perjuangannya jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata pendidikan penting dalam usaha mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan pelajar di DUN Sekong sekali gus mengubah sosioekonomi masyarakat di situ.

“Ada anak-anak  di kawasan ini tidak pergi ke sekolah kerana beranggapan pendidikan tidak penting,” katanya dalam ceramah di Kampung Bahagia, Batu Sapi hari ini.

Justeru, Diana meminta ibu bapa tanpa mengira latar belakang untuk melihat pendidikan sebagai kunci untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sementara itu, Diana yang juga isteri kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu berhasrat memperkasakan sektor perindustrian sebagai nadi ekonomi Sekong.

Selain itu, beliau juga berhasrat menubuhkan pusat komuniti wanita yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memasarkan produk-produk yang dihasilkan di kawasan berkenaan.

“Ramai wanita di sini kreatif dalam penghasilan kraftangan tetapi tidak mempunyai pengetahuan atau platform untuk memasarkan hasil mereka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala pengundian awal berlangsung esok. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

 
N53: SEKONG: SABAH: 27,518
 
1. Mohd Zharif Aizat Samsudin (BN-UMNO)
2. Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana (GRS-USNO)
3. Alias Sani (Warisan)
4. Abada Atalad (PIS)
5. Mohd Fazriee Awang (PN-Bersatu)
6. Arifin Asgali (Bebas/IND)
 
(2020: Alias Sani: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,599)

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494717