POLITIK

DUN Sarawak Lulus RUU Tambah Anggota Kabinet Negeri

24/11/2025 09:01 PM

KUCHING, 23 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang membolehkan kerajaan negeri melantik sehingga empat anggota tambahan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Kabinet Negeri.

Sebanyak 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan sebelum RUU itu diluluskan dengan 74 ahli menyokong dan dua menentang.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata struktur MMKN perlu diperkukuh bagi mencerminkan landskap pentadbiran Sarawak yang semakin berkembang serta keperluan tadbir urus yang kian meningkat.

Beliau berkata MMKN ketika ini terdiri daripada Premier dan 10 menteri seperti yang termaktub di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri, yang menetapkan majlis itu hendaklah terdiri daripada Premier dan tidak lebih daripada 10 atau sekurang-kurangnya empat orang menteri yang dilantik daripada kalangan ADUN.

Abdul Karim berkata pindaan itu sebahagiannya didorong oleh pertambahan jumlah ADUN, daripada 82 kepada 99 selepas Ordinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 berkuat kuasa pada 8 Ogos tahun ini.

“Dengan peningkatan bilangan kawasan pilihan raya dan kawasan pentadbiran, komposisi MMKN pada masa ini tidak lagi seimbang dengan struktur tadbir urus negeri yang semakin berkembang,” katanya pada persidangan DUN di sini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Sarawak berkata beberapa menteri pada masa ini memegang pelbagai portfolio, sekali gus menyebabkan tanggungjawab pentadbiran yang lebih berat dan peningkatan permintaan untuk menguruskan pelbagai tugas merentas sektor utama.

“Oleh itu, peningkatan bilangan ahli MMKN adalah wajar dan perlu. Langkah ini akan memperkukuh mekanisme eksekutif negeri, meningkatkan penyelarasan dasar serta memastikan portfolio kementerian dapat diagihkan secara seimbang dan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata pindaan itu juga akan membolehkan kerajaan negeri memberi respons yang lebih baik terhadap keperluan rakyat serta menyampaikan perkhidmatan dengan tumpuan yang lebih menyeluruh merentas semua sektor utama.

ADUN Asajaya itu menekankan bahawa peruntukan baharu berkenaan berada sepenuhnya dalam bidang kuasa perlembagaan DUN.

“RUU ini tidak mengganggu asas kerangka berkenaan. Komposisi teras yang ditetapkan di bawah Perkara 6 kekal tidak berubah.

“Sebaliknya, pindaan ini memperkenalkan peruntukan yang membolehkan Yang Dipertua Negeri atas nasihat Premier, melantik sehingga empat anggota (Kabinet) tambahan apabila perlu,” katanya sambil menambah bahawa langkah itu merupakan mekanisme yang ditentukan dengan teliti untuk menyediakan fleksibiliti dan keupayaan respons dalam reka bentuk perlembagaan sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494741