KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang untuk menilai semula peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memandangkan pelaksanaannya telah dirangka dengan mengambil kira langkah mitigasi yang bersifat bersasar dan progresif, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Langkah mitigasi peluasan skop SST yang berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 itu adalah bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan, kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
"Langkah-langkah ini memastikan peluasan skop SST dilaksanakan secara berhemah dan tidak membebankan pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebaliknya menyokong usaha memperkukuh hasil negara secara berperingkat bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi domestik," katanya.
MoF berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (Kepong-PH) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menilai semula peluasan skop SST memandangkan implikasi kos tambahan yang dikhuatiri mendorong kenaikan harga dan seterusnya membebankan PKS serta pengguna.
Kementerian itu berkata bagi memastikan PKS terus berdaya saing dan tidak terbeban dengan pelaksanaan itu, kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan dan pengecualian khusus.
Antara langkah yang diambil kerajaan adalah penetapan nilai ambang pendaftaran yang tinggi dikenakan bagi perkhidmatan baharu yang mula dikenakan cukai perkhidmatan iaitu RM1 juta setahun bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan dan perkhidmatan kewangan berasaskan fi, serta RM1.5 juta setahun bagi perkhidmatan pembinaan dan penjagaan kesihatan swasta.
Di samping itu, kerajaan juga mengambil langkah pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan kepada peniaga kecil dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM1 juta setahun.
Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2025, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata kadar inflasi negara kekal rendah pada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus pada September 2025.
“Ini didorong oleh kesan tekanan harga yang lebih sederhana dalam kumpulan perbelanjaan utama isi rumah seperti makanan, perumahan dan utiliti.
“Persekitaran inflasi ini menunjukkan bahawa langkah-langkah penambahbaikan hasil termasuk peluasan skop SST dapat dilaksanakan tanpa memberi tekanan ketara kepada kos sara hidup,” katanya.
-- BERNAMA