KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di beberapa negeri semakin buruk malam ini yang menyaksikan peningkatan jumlah mangsa di Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis.
Di KELANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 9,882 daripada 3,608 keluarga malam ini berbanding 9,634 petang tadi dengan 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat jajahan, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan paras air sungai utama di Kelantan menunjukkan peningkatan di dua lokasi yang melepasi paras waspada setakat 7.45 malam ini.
Sungai Melor, Bachok merekodkan paras air 7.68 meter (m), melepasi tahap waspada 7 m dengan trend paras air dilaporkan menaik.
Sementara itu, di Sungai Golok, Rantau Panjang, paras air berada pada 7.81 m, iaitu 0.81 m melepasi paras waspada.
Di PERLIS jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 2,017 orang daripada 594 keluarga setakat malam ini, berbanding 1,497 orang pada petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mereka yang terjejas itu melibatkan penduduk di kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar yang ditempatkan di sembilan PPS.
Di SELANGOR jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,732 orang setakat 8.30 malam membabitkan 474 keluarga berbanding 327 orang sebelum ini, selain 15 PPS kini dibuka berbanding lapan pada 3.30 petang tadi.
InfoBencana JKM memaklumkan PPS terbaharu yang dibuka adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Kompleks Penghulu Batu 10 dan Balai Raya Kampung Melaka, Batu 9, yang kesemuanya di daerah Hulu Langat serta SK Shah Alam, Seksyen 16, dan SK Desa Aman, Kuala Selangor.
Laman Public Infobanjir memaklumkan lapan sungai telah melebihi tahap bahaya antaranya Sungai Langat, Batu 12 di Hulu Langat pada paras 42.4 m, Sungai Langat di Jenderam Hilir (11.55 m), Sungai Bernam, di Hulu Selangor (20.29 m) dan Sungai Binjai, di Meru (4.64 m).
Di PERAK, situasi sama turut berlaku dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,786 orang daripada 554 keluarga pada malam ini berbanding 1,415 orang petang tadi yang ditempatkan di 20 PPS di daerah Manjung, Perak Tengah, Larut, Matang dan Selama serta Hilir Perak.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Manjung terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir apabila 996 orang daripada 294 keluarga ditempatkan di 12 PPS.
Sebanyak 643 orang daripada 219 keluarga berlindung di enam PPS di daerah Perak Tengah; PPS Sekolah Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama dihuni 38 mangsa daripada 11 keluarga dan 109 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap di daerah Hilir Perak.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 1,088 orang daripada 344 keluarga melibatkan mangsa dari daerah Kulim dan Kubang Pasu yang ditempatkan di sembilan PPS setakat 8 malam tadi.
Laman Public Infobanjir memaklumkan empat sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Laka di Kubang Pasu (23.47 m), Sungai Sintok di Kubang Pasu (44.59 m), Sungai Titi Kerbau di Pendang (4.14 m) dan Sungai Sari di Padang Terap (28.82 m).
Tiga sungai pula berada pada tahap amaran, iaitu Sungai Perik di Padang Terap (13.92 m), Sungai Melaka di Langkawi (3.39 m) dan Sungai Bata di Kubang Pasu (8.93 m).
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di TERENGGANU berkurang kepada 129 orang daripada 53 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 205 orang daripada 76 keluarga pada 3 petang tadi, dengan kesemua mangsa berlindung di PPS SK Kuala Besut, Besut sejak pagi semalam.
Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir di empat PPS menurun sedikit malam ini kepada 385 orang melibatkan 103 keluarga berbanding 404 mangsa daripada 104 keluarga, petang tadi.
Berdasarkan laman lnfobencana JKM setakat 7.17 malam ini, PPS SK Lahar Yooi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) masih merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 172 orang daripada 49 keluarga.
Sebanyak 107 mangsa daripada 28 keluarga berada di PPS Desa Puri, 56 orang daripada 15 keluarga di PPS SK Pengkalan Jaya manakala satu-satunya PPS di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu SK Permatang Pasir kekal dengan 50 mangsa daripada 11 keluarga.
-- BERNAMA