IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.045 bilion dan pembangunan RM568 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan belanjawan yang meneruskan tema “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” itu berkata lima fokus belanjawan merangkumi kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar, dan keterjaminan bekalan makanan.
“Pecahan perbelanjaan bagi maksud mengurus terdiri daripada emolumen RM496 juta, perkhidmatan dan bekalan RM385.9 juta, pembelian aset RM13.9 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM143.8 juta serta lain-lain perbelanjaan RM5.9 juta.
“Peningkatan belanja bagi mengurus 2026 telah mengambil kira kenaikan gaji penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa 2, iaitu kenaikan gaji tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana, dan kenaikan tiga peratus untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, berkuat kuasa 1 Januari 2026, selain kadar Kenaikan Gaji Tahunan,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan berkata belanja pembangunan bagi 2026 ditokok dalam jumlah yang besar, iaitu RM30 juta, peningkatan 5.6 peratus berbanding 2025.
Beliau berkata peningkatan itu bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat serta disokong pula oleh kedudukan kewangan kerajaan negeri yang positif.
“Jumlah belanja bagi maksud pembangunan RM568 juta itu mencatat rekod sebagai jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan negeri.
“Ini membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus dipacu manakala pembangunan terus dilaksana selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Saarani berkata belanjawan berkenaan dirangka bagi memastikan agenda Perak Sejahtera 2030 terus bergerak ke hadapan dengan penuh daya dan keteguhan dan bagi merealisasikan usaha itu, ia telah dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang mencecah angka RM1.518 bilion, iaitu peningkatan RM80 juta berbanding Belanjawan 2025.
“Dan insya-Allah, kita berada pada landasan yang betul untuk merekodkan surplus (lebihan) buat kali keempat berturut-turut. Ini kerana, kita sekali lagi merekodkan sejarah apabila pada seawal 30 Sept yang lepas, kutipan hasil negeri sudah pun melepasi angka RM1 bilion, sesuatu yang membuktikan kedudukan fiskal negeri yang kian mengukuh.
“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, sukacita saya mengumumkan bahawa setakat semalam, 24 Nov, Kerajaan Negeri telah pun berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan RM1.24 bilion, bukti kita semakin gagah dalam membina kekuatan masa hadapan,” katanya.
Saarani berkata bagi fokus kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM718.5 juta bagi 2026, iaitu peningkatan RM89.8 juta berbanding Belanjawan 2025, ia termasuk peruntukan RM47.3 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat.
Bagi fokus keterjaminan makanan, memperuntukkan RM73.06 juta bagi tujuan keterjaminan bekalan makanan, ia termasuk RM30.9 juta disediakan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak, iaitu peningkatan RM3 juta berbanding 2025, manakala RM8 juta pula diperuntukkan di bawah belanja pembangunan.
-- BERNAMA