IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibayar bulan depan (Disember).
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BKK tersebut turut diberikan kepada ahli Ex Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua guru lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) negeri, Orang Besar Jajahan serta kakitangan di bawah Kontrak MySTEP.
"Kerajaan negeri turut berbesar hati memanjangkan pemberian BKK ini pada kadar RM600 (RM300 sebulan bagi dua bulan) bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.
"BKK ini juga turut dipanjangkan kepada Guru-guru KAFA, Guru I’dadi dan Thanawi pada kadar RM400 (RM200 sebulan untuk dua bulan)," katanya.
Saarani mengumumkan demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau berkata BKK turut dipanjangkan kepada semua Pusat Khidmat DUN pada kadar dua bulan elaun, iaitu berjumlah RM20,000 sebagai mengiktiraf peranan Ahli DUN (ADUN) yang menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.
Sementara itu, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan turut mengumumkan penambahan elaun Guru KAFA daripada RM200 kepada RM400 sebulan berkuat kuasa 1 Jan 2026.
"Ini menjadikan elaun Guru KAFA kini berjumlah RM1,500 sebulan termasuk RM1,100 yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan," katanya.
Katanya kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah elaun Guru I’dadi dan Guru Thanawi sebanyak RM200 menjadikan elaun yang diterima RM1,400 sebulan juga berkuat kuasa 1 Jan depan.
Beliau berkata langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada 3,310 guru KAFA serta 80 orang Guru I’dadi dan Thanawi di seluruh Perak dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM9.4 juta setahun termasuk bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.
Dalam pada itu, Saarani turut membawa khabar gembira kepada bakal jemaah haji Perak apabila buat julung kalinya, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1,000 seorang kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah yang akan menunaikan ibadah itu tahun hadapan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM3 juta.
Selain itu katanya dalam usaha memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi, kadar elaun bulanan Ketua Kampung Tradisional, Ketua Kampung Cina dan Ketua Kampung India akan dinaikkan sebanyak RM100 sebulan, menjadikan elaun bulanan mereka akan berjumlah RM900, juga berkuat kuasa 1 Jan 2026.
"Kenaikan ini akan memberi manfaat kepada 996 orang Ketua Kampung di seluruh Perak dengan implikasi kewangan RM4.8 juta kepada kerajaan negeri iaitu peningkatan RM1.4 juta setahun," katanya.
Terdahulu, Saarani membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2026 berjumlah RM1.61 bilion melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.045 bilion dan pembangunan RM568 juta.
-- BERNAMA