KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Seoul menganjurkan Festival Malaysia pada Sabtu lepas, mengetengahkan pelbagai tawaran dan kekayaan budaya negara kepada pasaran Korea Selatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang akan datang.
Acara sehari itu, yang berlangsung di Dongdaemun Design Plaza, menarik kira-kira 7,000 pengunjung yang berpeluang merasai hospitaliti Malaysia serta menikmati makanan, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan produk Malaysia, menurut kedutaan dalam satu kenyataan.
Festival itu menghimpunkan 17 penyertaan yang terdiri daripada syarikat Korea, pengusaha restoran Malaysia tempatan, persembahan oleh Kumpulan Kebudayaan Sabah daripada Lembaga Pelancongan Sabah dan Sekolah Seni Malaysia Sabah, selain penyertaan diaspora Malaysia.
Acara berkenaan turut menjadi platform penting dalam mempromosikan pertukaran budaya dan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan.
Festival itu dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid, bersama tetamu kehormat, Timbalan Ketua Pengarah bagi Hal Ehwal ASEAN dan Asia Tenggara Kementerian Luar Korea Selatan, Gayeon Jung.
-- BERNAMA