JENAYAH & MAHKAMAH

Pejalan Kaki Maut Dirempuh Motosikal

30/06/2026 06:32 PM

SUNGAI PETANI, 30 Jun (Bernama) -- Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan bersama empat ahli keluarganya, termasuk seorang bayi, dalam kejadian di Kilometer 7.3 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran Taipan Square Bandar Puteri Jaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian pada 7 pagi tadi, membabitkan seorang penunggang motosikal dan lima pejalan kaki.

“Penunggang motosikal tersebut dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat berniaga dan tidak menyedari ada pejalan kaki di bahu jalan.

“Jarak yang dekat menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata mangsa iaitu Shukriyah Abu Bakar, 58, disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang lagi mangsa Siti Aishah Sha'ari, 24, mengalami kecederaan pada bahagian tangan.

Hanyan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575015