BEIJING, 25 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Beijing bersedia memperkukuh perkongsian tenaga komprehensif dengan Moscow, menurut Presiden China Xi Jinping, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Selasa, pemimpin China itu menghantar telegram kepada para peserta Forum Perniagaan Tenaga China-Rusia ketujuh yang kini berlangsung di Beijing.
“China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk terus memperkukuh perkongsian tenaga komprehensif dan bersama-sama mengekalkan kestabilan serta kelancaran rantaian pengeluaran dan bekalan tenaga global,” menurut hantaran telegram seperti dipetik China Central Television (CCTV).
Xi Jinping menegaskan bahawa kerjasama tenaga China-Rusia mempunyai asas kukuh, menjadi contoh kerjasama saling menguntungkan, selain memainkan peranan positif dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial kedua-dua negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI