AM

Tengku Permaisuri Norashikin Rasmi Arshad Ayub Forum

25/11/2025 09:08 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program diskusi Arshad Ayub Forum yang diadakan di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada 3 petang disambut Presiden Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) Saiful Azhar Shaharun. 

Hadir sama isteri Tun Arshad Ayub Toh Puan Zaleha Mohd Arshad.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengikuti forum yang menampilkan tokoh ekonomi terkemuka selaku panel iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Dr Suraya Ismail dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Forum hari ini bertajuk Ekonomi Inklusif, Memperkasa Ekuiti Bumiputera itu dikendalikan oleh Pengarah Hal Ehwal Kerajaan Prudential Assurance Malaysia Berhad Meor Hafizan Abdul Ghani.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) merupakan media rasmi kepada program siri forum yang julung kali diadakan itu.

Tengku Permaisuri Norashikin kemudiannya berkenan menyampaikan cenderahati kepada ahli panel dan moderator terlibat serta Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik BERNAMA Harlina Samson yang mewakili agensi media itu.

Sementara itu, Saiful Azhar berkata penganjuran siri pertama forum itu bertepatan dengan realiti semasa iaitu generasi sekarang perlu digerakkan dengan agenda, strategi dan naratif yang tepat berhubung ekonomi dan ekuiti yang terbina daripada usaha pendidikan disediakan oleh kerajaan.

Beliau berkata siri forum berkenaan melengkapi usaha-usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35, serta pelbagai lagi inisiatif yang dilaksanakan merentasi peringkat kerajaan serta organisasi

“Justeru itu, pada permulaan bicara Arshad Ayub Forum ini, kami lontarkan persoalan tentang ekonomi dan ekuiti yang terbina daripada usaha pendidikan dengan kupasan oleh tiga tokoh yang cukup hebat dalam bidang masing-masing,” katanya dan menambah siri kedua forum dijangka diadakan pada suku kedua tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495228