POLITIK

Warisan Jangan Kelirukan Rakyat Isu Pindaan Perlembagaan - Armizan

26/11/2025 04:24 PM

KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengingatkan Parti Warisan Sabah (Warisan) supaya tidak mengelirukan rakyat dengan mendakwa mereka berjaya menyelesaikan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Armizan yang pernah mengetuai Urus Setia Perjanjian Malaysia (MA63) di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak berkata dakwaan Warisan itu bercanggah dengan fakta sebenar.

Menerusi satu klip video, Armizan berkata cadangan pindaan itu pertama kali dibawa pada 2019 ketika Warisan mentadbir Sabah, namun gagal sebelum ia diluluskan pada 2021 dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Pada 9 April 2019, ketika Warisan berkuasa di negeri dan Persekutuan, rang undang-undang pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan telah dibentangkan di Dewan Rakyat. Namun, pindaan itu gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

“Pindaan Perkara 1(2) ini akhirnya berjaya diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Dis 2021 dengan sokongan 200 Ahli Parlimen manakala Dewan Negara meluluskan pindaan itu pada 22 Dis 2021.

Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pindaan itu berlaku pada 2021, bukan dalam tempoh Warisan memimpin kerajaan Sabah dan Warisan juga bukan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada masa itu. 

Perkara 1(2) pada asalnya mentakrifkan Persekutuan sebagai terdiri daripada negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara. Pindaan 2021 itu mengubah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah konstituen dalam Persekutuan.

Armizan ketika mengulas isu lesen dan permit perikanan laut dalam menolak dakwaan Warisan bahawa mereka yang memperjuangkannya dan berjaya menyelesaikan tuntutan berkenaan.

“Sebelum kuasa ini dikembalikan, semua lesen laut dalam dikeluarkan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Malaysia, kemudian pemberian kuasa berkaitan lesen dan permit itu diberi kepada Sabah tetapi hakikatnya ia hanya berlaku selepas era Warisan iaitu pada 2021,” katanya.

Armizan berkata perkara itu dipersetujui oleh Majlis Khas MA63 dan diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Okt 2021, disusuli dengan Majlis Penyerahan Surat Empowerment berkaitan pelesenan perikanan laut dalam kepada Sabah pada 4 Dis 2021.

“Perkara berkaitan lesen perikanan laut dalam ini dipersetujui, diluluskan dan dilaksanakan dalam 2021 dan keadaan Sabah pada masa itu diterajui oleh GRS. Sekali lagi, ini fakta dan yang auta adalah dakwaan Warisan,” tegasnya.

Beliau berkata pemberian kuasa laut dalam tidak memerlukan tempoh yang lama untuk dilaksanakan dan sekiranya dipersetujui atau diluluskan, instrumen pemberian kuasa boleh disiapkan dalam masa singkat.

Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495572