JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Guna Gelaran Datuk Palsu

26/11/2025 08:32 PM

SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan kes penipuan menggunakan gelaran Datuk palsu, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata suspek berusia 34 dan 50 tahun ditahan di sebuah restoran di daerah ini hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Polis turut merampas peralatan seperti kad serta cap rasmi istana, sijil pertubuhan, lambang adat, kelengkapan pakaian istiadat dan kebesaran dipercayai digunakan untuk menipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dua suspek itu direman sehingga 29 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495722