KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) melalui anak syarikatnya Chin Hin Property (KL) Sdn Bhd (CHPKL) membeli dua bidang tanah pegangan pajak selama 99 tahun di Taman Puncak Jalil, Selangor bernilai RM91 juta untuk melaksanakan pembangunan perumahan bertanah.
Menurut CHGP, CHPKL melaksanakan pembelian itu menerusi perjanjian jual dan beli dengan Trident Treasure Sdn Bhd (TTSB), dengan gabungan keluasan kedua-dua tanah adalah 104,714.99 meter persegi (kira-kira 1.12 juta kaki persegi).
“CHGP merancang untuk membangunkan tanah itu kepada projek perumahan bertanah yang merangkumi sebanyak 380 unit rumah teres tiga tingkat (20’ × 70’), menggantikan susun atur yang sebelum ini diluluskan bagi unit rumah berkembar dan pangsapuri di bawah pelan induk terdahulu,” katanya dalam kenyataan.
CHGP berkata perubahan kepada unit teres itu dijangka meningkatkan kadar jualan, mengurangkan pembinaan yang rumit dan menyediakan gabungan produk yang lebih berdaya maju serta selaras dengan pembangunan sekitarnya.
Menurutnya kajian kebolehlaksanaan dalaman menunjukkan bahawa projek berkenaan mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM560 juta dan kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM448 juta, yang dijangka menjana keuntungan kasar sekitar RM112 juta.
“Bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa, permohonan kebenaran merancang dijangka bermula pada Mei 2026, dengan pelancaran projek yang disasarkan pada suku keempat 2026 dan siap menjelang akhir 2029,” menurut CHGP.
Menurut kumpulan, pembelian itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank, dengan peruntukan akhir ditentukan berdasarkan keperluan nisbah hutang dan aliran tunai.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan bagi bahagian pembangunan hartanah Chang Tze Yoong berkata perumahan bertanah di Greater Kuala Lumpur terus menyaksikan permintaan kukuh terutama dalam kalangan keluarga muda dan pembeli yang inginkan rumah lebih baik yang mempunyai reka bentuk praktikal dan keselesaan jangka panjang.
“Pembelian ini selari dengan strategi kami untuk memberi tumpuan kepada produk kediaman yang mendapat permintaan tinggi sambil mengembangkan kehadiran kami di kawasan pertumbuhan,” katanya.
CHGP berkata pembelian itu disifatkan sebagai tambahan strategik kepada simpanan tanahnya di Greater Kuala Lumpur, melengkapkan pembangunan yang sedang dilaksanakan seperti Quaver Residence, Ayanna Resort Residences, Avantro Residences, Solarvest Suites, Crown Penang, Andalan, Aricia, Dawn KLCC dan Botanica Hills.
“Kumpulan kekal komited untuk memperkukuh perniagaan pembangunan hartanah terasnya dan melaksanakan pertumbuhan jangka panjang yang mampan melalui penggunaan modal berdisiplin dan perancangan produk berasaskan permintaan pasaran,” katanya.
-- BERNAMA