DUNIA

Festival Laos Raikan Beras Yang Menjadi Sumber Makanan Utama Negara

26/11/2025 09:44 PM

PHNOM PENH, 26 Nov (Bernama) -- Ketika sinaran matahari keemasan menyinari Wilayah Xiengkhouang di utara Laos hari ini, suasana perayaan memenuhi perkampungan apabila penduduk tempatan berkumpul bagi meraikan Festival Beras Khao Kai Noy yang unik.

Untuk tempoh empat hari akan datang, ribuan petani dari perkampungan di kawasan pergunungan akan mempamerkan warisan pertanian Laos, sajian tradisional dan budaya yang kaya kepada dunia.

Malah hujan tanpa henti selama berbulan-bulan, yang merosakkan tanaman dan tanah ladang -nampaknya tidak mungkin akan memudarkan semangat perayaan itu.

“Wilayah Xiengkhouang menjangka kehadiran ramai pengunjung ke festival tahunan Khao Kai Noy. (Festival itu) terkenal dengan sambutan terhadap varieti padi pulut Khao Kai Noy yang terkenal kerana aromanya yang harum dan kualitinya yang tinggi.

“Festival ini menjanjikan pameran budaya, masakan dan kraf tangan yang penuh meriah,” lapor Vientiane Times.

Telah diadakan selama dua dekad, festival itu menghargai beras yang sangat berkait rapat dengan identiti pertanian wilayah tersebut.

Xiengkhouang merupakan pengeluar utama beras Khao Kai Noy dengan hasil kira-kira 55,000 tan metrik setahun, meliputi 12,500 hektar kawasan sawah.

Laos terkenal dengan beras pulut atau beras melekit, yang merangkumi 90 peratus daripada jumlah pengeluaran beras negara.

Petani Laos berusaha menghasilkan 3.9 juta tan metrik beras tahun ini walaupun hujan lebat berterusan mengancam hasil pertanian.

Negara berpendapatan pertengahan rendah itu, dengan kira-kira tujuh juta penduduk, juga merupakan masyarakat pengguna beras yang besar, dengan penggunaan per kapita sebanyak 206 kilogram seorang - antara yang tertinggi di dunia.

Selain padi, petani turut menanam kopi, jagung, tanaman tunai dan buah markisa.

Seperti perayaan tradisional Laos lain, karnival itu menampilkan produk, kraf tangan dan sajian tradisional, dan pameran beras Khao Kai Noy akan menjadi tumpuan acara, menurut media tempatan.

Sektor pertanian kekal sebagai tulang belakang ekonomi Laos yang dikelilingi daratan, dengan kira-kira 60 peratus tenaga kerjanya bergiat dalam pertanian.

Sebahagian besar petani sara hidupnya menanam padi.

“Khao niaw” sebutan masyarakat Laos bagi beras pulut, sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka. Namun, perubahan cuaca yang ketara akibat kemarau dan banjir telah mengancam pengeluaran padi negara,” menurut Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa yang berpangkalan di Filipina dalam laman webnya.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495765