SUKAN

ACL2: Selangor Raih Mata Pertama, Ikat Bangkok United 1-1

26/11/2025 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Selangor FC akhirnya berjaya meraih satu mata berharga dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 selepas terikat 1-1 menentang Bangkok United pada aksi Kumpulan G di Stadium Pathum Thani, Thailand hari ini.

Keputusan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan skuad Gergasi Merah yang sebelum ini tewas dalam empat perlawanan berturut-turut sehingga mengekalkan mereka di tangga tercorot kumpulan dan sah tersingkir daripada saingan.

Terdahulu, kedua-dua pasukan saling berhati-hati dalam mencongak serangan sehingga menyaksikan perlawanan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Bangkok United akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol menerusi jaringan Rungrath Phumichantuk pada minit ke-51.

Ketika perlawanan tampak memihak kepada tuan rumah, Chrigor Moraes muncul wira menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memastikan satu mata dibawa pulang Selangor dari tempat lawan.

Skuad kendalian Christophe Gamel itu akan melengkapkan jadual peringkat kumpulan menentang wakil Singapura, Lion City Sailors pada 10 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495804