TUARAN, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa rakyat Sabah bangkit menolak pemimpin yang membolot kekayaan negeri sambil menindas golongan miskin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Sabtu ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata tindakan itu penting, bagi memastikan keharmonian serta masa depan rakyat Sabah terutamanya golongan muda terus terpelihara.
“Saya mahu rakyat bangkit di Sabah ini. Tentukan masa depan kita, terutama anak-anak muda. Ini masa hadapan anda dan masa hadapan anda perlu ditentukan anda sendiri.
“Bukan oleh ahli politik yang terdesak atau sesetengah ahli akademi, marah terus, bising terus tapi tak peduli fakta, tanam kebencian, yang untung orang kaya di atas, yang susah orang miskin di bawah,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar berkata rakyat khususnya golongan muda, perlu menilai kejayaan pemimpin politik berdasarkan rekod semasa mereka mentadbir kerajaan negeri dan bukannya selepas bersara atau kembali aktif berkempen semasa pilihan raya.
“Hendak nilai sama ada ketua menteri ini berkesan atau tidak, kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri berkesan atau tidak, nilai sekarang semasa mereka berkuasa. Berapa ramai Sabah lahirkan pemimpin, berapa ramai Persekutuan ada menteri-menteri dari Sabah.
“Apabila sudah tidak berkuasa, sudah pencen (cakap) ini tak betul, itu tak betul, ini kamu belum buat, itu kamu belum buat. Masa kamu kuasa, apa yang kamu buat?,” soal beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin yang konsisten bekerja untuk rakyat, malah tidak pernah meminta apa-apa demi kepentingan peribadi atau keluarga.
“Apabila saya datang Sabah, belum sempat duduk, Hajiji kata (bekalan) air kita belum ada pun, duduk sekali lagi, elektrik kita begini, jalan kita begini. Maknanya, Hajiji bekerja untuk suarakan kepentingan rakyat Sabah. Kita runding dengan baik dan selesaikan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata beliau menghormati dan menyokong Hajiji kerana pendirian ketua menteri itu yang kekal konsisten dalam memastikan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan demi pembangunan Sabah.
“Dia (Hajiji) kata saya tubuh kerajaan, saya sokong kerajaan Persekutuan, kita bangunkan Sabah, bangunkan Malaysia dan sampai ke hari ini dia tidak berganjak daripada pendirian itu,” kata Anwar.
Sebanyak 1.76 juta pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ke-17 Sabtu ini, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA